fbpx
Muhyiddin menandatangani Buku Hari Malaysia pada Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak sebentar tadi.

Sarawak dan Sabah terus kekal dalam Malaysia – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa negeri Sarawak dan Sabah terus kekal berada dalam Malaysia dan soal kedaulatan wilayah juga akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara.

“Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara.

“Ini termasuk melaksanakan Ops Benteng dan meningkatkan penguatkuasaan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),”katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak sebentar tadi.

Hadir sama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada masa sama Muhyiddin berkata, Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 terpelihara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri.

“Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan tersebut, Muhyiddin menyeru agar semua rakyat menghayati dengan mendalam makna Hari Malaysia.

“Ini adalah hari kita membulatkan tekad, memperkukuhkan azam dan membugarkan semangat perpaduan seluruh rakyat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bersatu hati sebagai sebuah bangsa yang berjaya dan dihormati.

“Jadikanlah tarikh 16 September ini sebagai titik pembaharuan semangat perpaduan kita demi membentuk sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.-K! ONLINE.