fbpx
Muhammad Sanusi (dua dari kiri) mendengar taklimat operasi PKOB Kota Setar oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA), Md. Zain Baharum ketika melawat pusat kawalan itu di Pejabat Daerah Kota Setar hari ini.

1,065 aduan terputus bekalan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR – Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar menerima sebanyak 1,065 aduan daripada penduduk yang terputus bekalan makanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dikuatkuasakan Jumaat lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya setakat ini telah mengagihkan sebanyak 203 bekalan kepada penduduk terjejas.

“Mereka ini terdiri daripada peniaga-peniaga kecil yang hilang sumber pendapatan setelah PKPD dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat PKOB Kota Setar di Pejabat Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Kata beliau, setiap aduan akan mengambil masa 24 jam sebelum bekalan dihantar ke rumah penduduk terlibat.

“Walau bagaimanapun, setiap aduan yang diterima akan ditapis terlebih dahulu untuk memastikan hanya yang layak sahaja menerima bantuan.

Muhammad Sanusi pada masa sama memberi jaminan bahawa bantuan akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas secepat mungkin.

“Kita memperbaiki gerakan seperti menambah jentera pengangkutan daripada 12 pacuan empat roda kepada 22 buah kini dan ia membolehkan bekalan dapat diagihkan dengan pantas,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa agar pemimpin setempat seperti penghulu di 28 mukim Kota Setar serta wakil rakyat dan penyelaras Dewan Undangan Negeri turut memainkan peranan menyalurkan maklumat kepada PKOB berkaitan penduduk yang terjejas bekalan makanan.

“Ini bagi memastikan bekalan makanan diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.-K! ONLINE