fbpx
Gambar hiasan.

18 pekebun durian dipanggil bantu siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya memanggil dan merakam percakapan 18 pekebun berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian haram di Raub, Pahang.

SPRM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter berkata, seramai 12 individu lain turut hadir, namun kesemuanya tidak berkaitan dengan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan suruhanjaya itu telah memanggil dan merakam percakapan antara 30 hingga 50 pekebun adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin dijelaskan bahawa penafian yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berhubung isu tersebut adalah merujuk kepada jumlah pekebun yang dipanggil untuk membantu siasatan.

“SPRM menjalankan siasatan berdasarkan undang-undang yang diperuntukkan yang mana tindakan adalah bebas tanpa desakan daripada mana-mana pihak bagi mendapatkan keterangan mengenai isu penerokaan tanah ini yang telah berlarutan sehingga kini,”katanya di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan SPRM akan terus memanggil pihak berkaitan untuk membantu siasatan berhubung isu ini dari semasa ke semasa.

“SPRM juga berharap semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar tidak membuat spekulasi berhubung isu tersebut dan memberi ruang kepada suruhanjaya ini untuk menjalankan siasatan,”ujar mereka.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan negeri. -K! ONLINE