fbpx

‘Pak Andak’ meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDRIS MD. DIAH

KUALA LUMPUR – Dramatis veteran, Idris Mat Diah meninggal dunia pukul 2.30 pagi tadi.

Berita kematian pelakon yang terkenal dengan watak Pak Andak menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 itu disahkan oleh anak saudara arwah, Nurul Nabihah Mod. Rizal kepada Kosmo! Online.

“Benar, bapa saudara saya meninggal dunia awal pagi tadi di kediamannya di Presint 9, Putrajaya. Saya diberitahu tentang perkara tersebut pada pukul 3 pagi tadi,” kata Nabihah.

Idris atau nama penuhnya Mohd. Idris Mohd. Diah, 61, merupakan antara pelakon veteran yang cukup disegani dalam industri. Arwah yang sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu juga pernah muncul dalam drama Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap. Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Dalam satu perkongsian status menerusi Facebook, seniwati Fauziah Datuk Ahmad Daud menyifatkan Idris sebagai aktor yang cukup dihormati. Pengalaman berganding dengan arwah menerusi telefilem Bila Bulan Mengambang sekitar 1990-an masih berbekas di jiwa.

“Salah seorang pelakon yang sangat saya minat, segan dan amat saya hormati. Banyak yang saya pelajari daripada arwah. Seorang aktor yang sangat merendah diri tetapi ilmunya luas sebagai seorang aktor. Berehatlah Idris di negara abadi,” memetik tulis Fauziah atau Ogy.

Jenazah arwah kini dibawa ke Masjid Al-Faizin Desa Jaya, Kepong dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong, Kepong, sebelum Zuhur.

 

– K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI