fbpx

Bot nelayan Vietnam dilarang berlindung di perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APMM

HULU TERENGGANU – Bot nelayan Vietnam tidak dibenarkan untuk berlindung di perairan negara termasuk Terengganu pada musim tengkujuh yang dijangka bermula pada akhir bulan depan.

Pengarah Maritim Terengganu (APMM), Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, pemerhatian pihaknya sebelum ini mendapati berlindung daripada laut bergelora dan ombak kuat adalah helah popular nelayan negara jiran untuk menangkap ikan secara haram di negara ini pada musim tengkujuh.

“Lokasi kegemaran bot nelayan Vietnam kononnya berlindung pada musim tengkujuh ialah Pulau Redang, Kuala Nerus; Pulau Tenggol, Dungun dan Pulau Perhentian, Besut.

“Mereka kemudiannya akan mengambil kesempatan untuk menangkap ikan secara haram di perairan negara,” katanya ketika ditemui selepas program Latihan Menembak Senjata Kecil APMM Terengganu di Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia di Kuala Berang di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Suffi berkata, APMM akan bertegas menahan mana-mana bot nelayan Vietnam yang didapati masih memasuki perairan Terengganu pada musim tengkujuh ini.

Beliau memberitahu, kebenaran untuk berlindung di perairan negara masih boleh dipertimbangkan sekiranya bot nelayan Vietnam itu membuat permohonan rasmi kepada Wisma Putra menerusi Pejabat Kedutaan Vietnam.

“Begitupun setakat ini, Kementerian Luar Negeri memaklumkan tidak menerima lagi sebarang permohonan itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI