fbpx

Kilang haram tepi sungai akan dirobohkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas melakukan gimik pelancaran majlis pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di sini hari ini. Foto: ABDUL RAZAK IDRIS

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT – Semua kilang terutama kilang haram di tepi sungai di Selangor akan dirobohkan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan tersebut bagi menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kilang terutama premis haram di tepi sungai yang berpotensi mencemarkan anak sungai.

Katanya, beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa menangani perobohan kilang haram dan struktur tidak wajar sepanjang sungai di negeri ini.

“Bagi mencapai objektif itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) diberi tugas sebagai agensi pelaksana memantau struktur tidak wajar di tepi sungai,mengosongkan binaan di kawasan rizab sungai serta pencemaran sumber air.

“Kita akan mengabungkan teknologi pemantauan sungai bagi halang sebarang cubaan mana-mana pihak melakukan pencemaran. Jika kita ambil tindakan, kita harap semua pihak bekerjasama terutama pengosongan rezab sungai di kawasan perbandaran,” katanya selepas Majlis Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menyatakan tidak mempunyai statistik jumlah kilang terutama kilang haram yang akan terlibat dalam perobohan tersebut.

Ujar Amirudin, ini berikutan kilang-kilang itu berada di bawah pihak berkuasa tempatan yang berbeza.

“Bila disebut kilang haram bukannya semua mencemarkan alam sekitar. Status kilang tersebut ada yang tiada lesen dan tidak ikut syarat ditetapkan, ” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan proses pemutihan kilang di Selangor telah dilaksanakan sejak 2008 lagi.

“Kita beri peluang kepada kilang-kilang itu sehingga hujung tahun ini kerana kebanyakan kilang tidak menyertai disebabkan melibatkan kos tinggi dari segi penempatan semula,” katanya.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI