Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan dua peniaga kerana disyaki memberi rasuah kepada anggota penguatkuasa dalam satu kejadian petang hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 37 dan 59 tahun itu adalah peniaga di Pasar Awam Kluang ditahan kira-kira jam 3.30 petang tadi di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut sumber, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek memberi wang rasuah kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang sebanyak RM500 dan RM1,000.
“Tindakan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan melanggar syarat lesen dengan menggajikan warga asing di Pasar Awam Kluang di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Jumlah kadar kompaun bagi kesalahan tersebut adalah berjumlah RM1,000.00,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Dato’ Hj. Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – K! ONLINE














