fbpx
Watak Foo Kok Kiong ketika diperkenalkan oleh gurunya dalam video Kita.

‘Kita’ lambang perpaduan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sekadar video pendek, malah video yang sepenuhnya dihasilkan menggunakan telefon pintar Vivo X50 Pro ini turut memainkan peranan penting khususnya untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini menerusi hasil seni yang dihasilkan.

Video pendek berjudul ‘Kita’ yang dihasilkan oleh pengarah filem tempatan Ho Yuhang ini sarat dengan mesej bagi memupuk perasaan muhibah dalam kalangan masyarakat.

Melalui karya yang berdurasi sembilan minit 44 saat ini, pengarahnya telah menyelitkan unsur kesetiakawanan, nilai persahabatan, tradisi dan budaya yang dimiliki setiap kaum bertujuan merapatkan silaturahim antara semua rakyat tanpa mengira kaum.

Lokasi yang dipilih iaitu sebuah sekolah yang dilambangkan sebagai negara Malaysia itu akan lebih harmoni dan berjaya sekiranya setiap pelajar (rakyat Malaysia) pelbagai kaum bersatu padu dan saling tolong-menolong.

Sekolah merupakan satu lokasi penting bagi memberi pengetahuan asas kepada para pelajar bermula dari kecil mengenai makna sebenar perpaduan. Di peringkat awal lagi iaitu peringkat sekolah, penerapan nilai perpaduan sepatutnya ditekankan.

Pemilihan lokasi sekolah kebangsaan itu merupakan salah satu simbol perpaduan negara ini di mana di situ terdapat pelajar pelbagai kaum. Mesej yang tersirat pada filem ini adalah jika kita bersatu padu dan bertolak ansur, segala kemungkinan dan kejayaan pasti akan berjaya dikecapi bersama.

Begitulah apa yang dilambangkan kepada Malaysia, walaupun pelbagai kaum menghuni negara tercinta ini sekiranya sikap dan norma hidup yang mementingkan diri sendiri diamalkan ia hanya akan merugikan negara kita semata-mata.

Pada awal video ini, ternyata dialog dalam pertanyaan “nama kamu siapa?” yang diajukan oleh salah seorang pelajar lelaki sekolah tersebut kemudian dijawab dengan nama “Foo Kok Kiong” oleh watak utama.

Jawapan tersebut telah disambut dengan gelak ketawa oleh pelajar-pelajar lain kerana watak utama masih mengekalkan tradisi nama Cina sedangkan sudah ramai orang Cina ketika ini telah menggunakan nama ‘Mat Saleh’ dalam setiap nama mereka.

Babak itu dilihat amat penting kerana beberapa kali watak utama ditekan dan dimalukan kerana mengekalkan panggilan nama tradisinya. Begitulah sebaliknya sepatut diamalkan oleh masyarakat kita dengan tradisi yang kita miliki perlu dikekalkan tanpa dipengaruhi dengan pemikiran barat.

Bukan itu sahaja, apa yang boleh dilihat melalui video pendek ini, satu pesanan ringkas yang diajukan kepada ibu bapa adalah mengenai paksaan yang tidak perlu dilakukan kepada setiap anak demi memenuhi kehendak ibu bapa itu sendiri.

Watak Foo Kok Kiong ternyata mempunyai kemahiran tersendiri apabila mampu melakar dan melukis. Bagaimanapun, atas desakan bapanya yang tidak mahu dia meneruskan minat dan kepakaran itu, Kok Kiong terpaksa menyembunyikan kebolehan yang dimiliki.

Secara tidak langsung, perbuatan seperti ayahnya itu akan mematikan kemahiran yang ada dalam setiap diri anak-anak. Sebagai ibu bapa, sepatutnya kita mendorong minat mereka agar menjadi terus berani.

Bukan itu sahaja, ‘kekerasan’ bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan oleh kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Dengan kekerasan setiap masalah tidak boleh diselesaikan malah akan mengeruhkan lagi sesuatu keadaan.

Video pendek ini juga berjaya menunjukkan bahawa kekerasan bukanlah penyelesaian yang baik dalam menamatkan sesuatu masalah dengan memaparkan satu babak pergaduhan yang melibatkan watak utama dengan pelajar yang lain.

Pada babak akhir video ini, lukisan Wau Bulan yang ditonjolkan sebagai lukisan mural yang dihasilkan oleh watak utama bersama kawan-kawannya menjadi kesimpulan kepada keseluruhan video ini.

Wau Bulan merupakan simbol unik kepada Malaysia dan menjadi logo kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Secara tersirat, logo Wau Bulan ini telah terbang ke serata dunia dan lambang ini juga memperkenalkan dunia mengenai Malaysia.

Melalui video ‘Kita’, segala kejayaan yang dikecapi selama ini adalah melalui perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat negara ini.

Jika perpaduan tidak diamalkan, segala kejayaan yang ditempa selama ini tidak akan kita rasai. Perpaduan perlu diselami dan diamalkan agar Malaysia terus menuju kejayaan pada masa akan datang. – K! ONLINE.