fbpx
Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican (kiri) selepas tamat prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Cadang selesai kes saman Awal, Scha – D’Haja secara mediasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Rayuan  Syarikat D’Haja (M) Sdn. Bhd. berhubung saman pelanggaran kontrak pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Al-Yahya dicadangkan selesai secara baik melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Syarikat D’Haja (M) Sdn.  Bhd.  selaku perayu selepas prosiding dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hasnal ketika ditemui berkata mahkamah meminta supaya pihak-pihak terlibat cuba mencari penyelesaian untuk menyelesaikan kes itu.

“Proses (mediasi) ini perlu diselesaikan sebelum 17 November. Jika kedua-dua pihak gagal menyelesaikan kes, rayuan seterusnya akan didengar pada tarikh itu,” katanya yang turut memaklumkan tarikh bagi mediasi itu akan ditetapkan kemudian.

Mediasi merupakan alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh.

Hasnal berkata rayuan itu difailkan pada 3 April 2019 atas alasan Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam membuat keputusan apabila membenarkan tuntutan Awal dan Scha terhadap saman yang dikemukakan.

Sementara itu, peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Awal dan Scha selaku responden pula berkata pihaknya terbuka menyelesaikan kes itu secara mediasi.

Terdahulu dalam prosiding itu Awal dan Scha tidak hadir ke mahkamah.

Pada 27 Mac tahun lalu, Awal dan Scha selaku plaintif mendapat ganti rugi berjumlah RM345,305 selepas berjaya dalam tuntutan saman terhadap syarikat itu berhubung pengedaran dan penjualan eksklusif minyak wangi mereka di Mahkamah Sesyen.

Hakim Shamsudin Abdullah memerintahkan D’Haja selaku defendan membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman pelanggaran kontrak yang difailkan Awal dan Scha.

Mahkamah membenarkan tuntutan saman berkenaan selepas mendapati D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabya kerana gagal memastikan 20,000 botol minyak wangi plaintif berada dalam keadaan baik untuk diniagakan.

Dalam saman difailkan pada 30 April 2018, Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 38, dan Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 36, mendakwa mereka telah memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi Bleu dan Maroon dengan pembekal tekstil, D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun sehingga 10 Oktober 2018.

Bagaimanapun mereka mendakwa, D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan  kerugian itu.

Oleh itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM345,305, faedah dan ganti rugi am terhadap defendan. -K! ONLINE

POPULAR