fbpx

463 pelajar Sekolah KAFA integrasi ‘cuti’ air tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZITAH yang bekerja di kawasan sama dengan Sekolah KAFA Integrasi Beting Tengah Sijangkang menunjukkan isyarat sekolah tersebut tutup hari ini kerana tiada air. FOTO : ABDUL RAZAK IDRIS

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT – Sekolah KAFA Integrasi Benteng Tengah Kampung Sijangkang di sini terpaksa ditutup gara-gara bekalan air masih belum pulih sejak empat hari lalu.

Menurut Pengelola KAFA tersebut, Dr.Abdul Razak Khasbullah, pihak sekolah amat prihatin dengan situasi ketiadaan air yang akan menyukarkan urusan seharian pelajar dan kakitangan sekolah.

“Keputusan untuk menutup sekolah hari ini adalah demi kebajikan dan kesihatan 463 pelajar di sekolah ini.

“Dalam situasi kita mengekang pandemik Covid-19 elemen kebersihan perlu diutamakan. Air amat diperlukan bukan sahaja untuk bersuci dan berwuduk malahan untuk membersihkan tangan sebagai langkah sanitasi diri,”katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, pihaknya menghantar makluman berhubung penutupan sekolah tersebut melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Jelasnya, sekiranya bekalan air masih belum pulih kemungkinan besar penutupan sekolah itu diteruskan pihaknya.

Sementara itu Taman Bimbingan Kanak- kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Beting Tengah yang terletak di dalam kawasan Sekolah KAFA tersebut tetap berjalan seperti biasa.

Pembantu Guru Kemas, Razitah Tasri berkata, pihaknya tidak mendapat arahan untuk menutup tadika tersebut maka ia berjalan seperti biasa.

“Saya bawa air sendiri dengan menggunakan beberapa tong air kecil daripada rumah, untuk keperluan tabika ini.

“Tanpa air susahlah pihak tadika hendak memasak dan untuk keperluan hakiki seperti bersuci dan membasuh tangan kanak-kanak tadika ini,”katanya.

Tinjauan Kosmo! mendapati bekalan air di kawasan tersebut masih belum pulih dan pihak Air Selangor masih membuat penghantaran air bersih. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI