LIPIS – Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di beberapa taman bimbingan kanak-kanak (tabika) sekitar daerah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, terutama mereka yang mempunyai anak kecil.
Difahamkan, kes HFMD di daerah ini mencatatkan peningkatan lebih 80 peratus sejak awal bulan ini.
Penularan mendadak itu menyebabkan ramai ibu bapa mengambil langkah berhati-hati termasuk tidak menghantar anak mereka ke tabika buat sementara waktu bagi mengelak risiko jangkitan.
Seorang ibu dikenali dengan Nor, 39, berkata, dia mula menyedari anak dijangkiti HFMD apabila mereka mengadu sakit di mulut sebelum timbul ruam dan lepuh pada tangan serta kaki.
Menurutnya, demi keselamatan dan pemantauan rapi, dia terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anak yang kini dikuarantin di rumah selama lima hari.
“Sebelum ini, cikgu sudah beritahu ada murid dijangkiti HFMD dan diarahkan untuk tidak hadir ke sekolah. Namun, saya tidak sangka anak saya pula kena selang beberapa hari kemudian.
“Saya terus ambil cuti jaga anak yang dikuarantin kerana mengalami kesakitan di mulut serta timbul ruam di tangan dan kaki,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 30, berkata, dia mengambil langkah drastik untuk tidak menghantar anaknya ke tabika sehingga wabak HFMD benar-benar reda bagi mengelak sebarang risiko terhadap kesihatan anaknya yang berusia enam tahun.
“Anak saya ada masalah kulit sensitif (ekzema). Jika dijangkiti HFMD, bimbang keadaannya menjadi lebih serius. Walaupun Kementerian Kesihatan telah menjalankan sanitasi di tabika, saya tetap pilih untuk tidak ambil risiko, biarlah tunggu keadaan reda dulu,” ujarnya.
















