KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki menendang seekor kucing yang sedang berehat di sebuah hentian bas mengundang kecaman netizen di laman sosial Facebook.
Klip video yang dimuat naik menerusi Facebook Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) sejak awal pagi tadi telah ditonton lebih 44,000 kali dan telah dikongsi lebih 961 pengguna.
Menerusi kenyataan Animal Malaysia di laman Facebooknya memaklumkan, kejadian tersebut dipercayai berlaku di negeri sebelah utara tanah air berdasarkan ‘loghat’ yang digunakan pelaku.
“Perbuatan itu membuktikan banyak sebenarnya kucing jalanan dianiaya dan dizalimi dan kebanyakan ia tidak didedahkan kepada umum.
“Animal Malaysia merayu kepada masyarakat supaya membekalkan maklumat lengkap seperti tarikh, masa dan tempat kejadian. Maklumat tidak sempurna bakal mengundang salah faham,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kezaliman haiwan diminta menghubungi hotline Animal Malaysia di talian 011-20901097.
Seorang netizen, Asra Sha, turut berkongsi rasa kesalnya terhadap perbuatan pelaku dan simpati dengan nasib yang menimpa kucing itu.
“Wahai manusia sudah hilang ke perasaan? Tidak diminta untuk dibelai dan dimanjakan kucing itu, asalkan tidak dianiayakan pun dah cukup”.
Perasaan sama turut dikongsi, Maimun Ibrahim yang mendoakan pelaku menerima balasan dari Allah.
“Kesian kucing tu! Semoga kau (pelaku) akan terima pembalasan kelak. Aamiin”. – K! ONLINE














