fbpx

Kada hilang tanah sawah kesan pembangunan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengerusi Kada, Datuk Kamarudin Md. Nor menyampaikan sumbangan beras kepada asnaf di Kampung Lembah, Pasir Puteh.

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) kehilangan 10,000 hektar tanah pertanian dalam kawasan operasinya dalam tempoh 10 tahun apabila tanah pertanian itu berubah status kepada lot pembangunan.

Pengerusi Kada, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, keadaan itu berlaku kerana keperluan penduduk termasuk petani sendiri yang membina kediaman mereka.

Sehubungan perkara itu, katanya, langkah sedang dipertimbangkan untuk memperluaskan semula merentasi beberapa jajahan baharu membabitkan beberapa kawasan pertanian di Pasir Puteh, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Machang.

“Kawasan yang paling luas diperlukan ialah kawasan pertanian di Semerak dan Gaal. Pelan pembangunan dan perluasan kawasan operasi ini akan dibentangkan ke kabinet dalam tempoh yang terdekat.

“Matlamat utama membesarkan saiz kawasan operasi Kada seluas 44,000 hektar berbanding keluasan sekarang iaitu 26,833 hektar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Warga Petani, Kampung Lembah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, isu kehilangan tanah pertanian akan memberi impak kepada perancangan jaminan makanan negara, walaupun hasil produktiviti padi meningkat dalam tempoh yang sama sebanyak 51,000 metrik tan.

“Kawasan jelapang ini perlu dikekalkan demi kepentingan negara. Perbincangan dengan kerajaan negeri juga dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sudah dilaksanakan dan mencapai kata sepakat mencapai misi perluasan semula selain mengekang aktiviti tebus guna tanah sawah untuk tujuan komersial,” katanya.

Kamarudin berkata, sebelum ini, pihak kementerian melalui Kada telah menyediakan peruntukan hampir RM150 juta dalam usaha memberikan manfaat kepada golongan pesawah meningkatkan hasil pendapatan mereka. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI