SEBAGAI seorang doktor, lelaki berusia 48 tahun itu sering berhadapan dengan pelbagai ragam kanak-kanak yang datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Saat bertemu dan merawat kanak-kanak, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha sering memeluk mereka sambil berbisik ke telinga: “Keadaan akan bertambah baik.”
Tiada perkara yang lebih menggembirakan Sheikh Muszaphar daripada melihat senyuman terukir pada wajah kanak-kanak apabila tahap kesihatan mereka bertambah baik.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menganggap kanak-kanak adalah insan kecil yang daif, tidak berdosa dan memerlukan bimbingan orang dewasa dalam menjalani hidup.
“Hati saya akan tersentuh setiap kali melihat tangisan kanak-kanak yang menahan kesakitan apabila mendapatkan rawatan di hospital atau kanak-kanak yang menangis di negara bergolak kerana peperangan.
“Disebabkan itu, saya berjanji kepada diri untuk berbakti kepada insan kecil ini. Saya ingin membantu mengubah nasib mereka dan memberi semangat untuk berjaya,” katanya kepada K2.
Sheikh Muszaphar mula dikenali ramai pada 2007 apabila menjadi angkasawan pertama negara yang berlepas ke angkasa lepas dengan menaiki Soyuz TMA-11.
Pada masa sama, doktor pakar ortopedik (tulang) itu juga merupakan seorang felo di Universiti Kebangsaan Malaysia, model dan pemilik restoran.
Disebabkan janjinya itu, Sheikh Muszaphar sentiasa berusaha menjadi bapa terbaik untuk empat orang cahaya matanya iaitu Sophea Isabella, 9, Sophea Natasha, 7, serta pasangan kembar lelaki Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 3. Anak-anak itu hasil perkahwinannya dengan Dr. Halina Mohd. Yunos, 40, yang dikahwini sejak tahun 2010.

Anugerah
“Anak-anak adalah anugerah tidak ternilai. Kehadiran mereka suatu rahmat yang tidak terungkap dengan kata-kata, malah lebih berharga daripada ijazah kedoktoran atau terpilih menjadi angkasawan pertama negara.
“Mereka adalah segala-galanya dalam hidup saya,” ujarnya yang sedang menanti kelahiran cahaya mata kembar.
Justeru itu, dia sentiasa berusaha memberi sepenuh kasih sayang dan didikan kepada semua anaknya bermula sejak lahir menerusi pendedahan dalam aspek pelajaran, sukan, seni, nilai-nilai Islam dan kepelbagaian bahasa.
Cara dan pendekatan mendidik anak oleh Sheikh Muszaphar yang unik dan berbeza daripada norma didikan kebiasaan ibu bapa di negara ini telah menarik minat netizen di media sosial sehingga tercetusnya ilham menulis naskhah berkaitan keibubapaan.
Daripada dikenali sebagai seorang angkasawan, kini dia turut dikenali sebagai penulis buku pendidikan keibubapaan.
Buku pertama bertemakan keibubapaannya yang bertajuk My Way of Parenting menemui pembaca pada pertengahan Julai lalu. Buku itu turut terdapat dalam versi bahasa Melayu.
“Saya sentiasa percaya, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan anak-anak. Jadi, ibu bapa perlu dilengkapkan dengan ilmu dan pengetahuan secukupnya mengenai cara membesarkan anak-anak.

“Buku ini mampu memberi panduan dan inspirasi kepada para ibu bapa dalam menyerlahkan potensi sebenar anak-anak mereka sama ada dari aspek fizikal, psikologi dan mental,” katanya.
Mengulas mengenai buku setebal 226 muka surat itu, ia ditulis berdasarkan pengalamannya sebagai seorang doktor pakar, bapa dan anak.
Sheikh Muszaphar juga menulis buku itu bersandarkan fakta dan kajian saintifik pakar berkaitan kanak-kanak yang diperoleh menerusi bahan-bahan bacaan dari luar negara.
“Saya masih ingat, bapa saya tidak pernah mengucapkan perkataan I love U (saya sayang awak). Bagi saya, ia satu kekurangan dan kini saya berusaha mengungkapnya setiap hari kepada anak-anak.
“Ramai tidak mengetahui kajian saintifik menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak membesar sebanyak 90 peratus pada usia enam tahun pertama. Jadi, pendedahan dan pembelajaran harus bermula sejak awal,” terangnya.
Prestasi anak
Buku tulisan Sheikh Muszaphar itu mengandungi 20 bab antaranya Kenali Anak, Kanak-kanak Sukakan Rutin dan Belajar Bahasa Asing.
Menariknya, naskhah yang dilengkapi gambar berwarna dan tip-tip penting itu dikupas dengan sangat ringkas tetapi padat bagi memudahkan pemahaman para pembaca.
Sheikh Muszaphar bagaimanapun menegaskan, tidak semua cara didikan yang diketengahkannya dalam buku itu perlu diterima dan dipraktikkan oleh para ibu bapa.
Kongsinya, ini disebabkan setiap kanak-kanak dikurniakan dengan personaliti berbeza yang memerlukan pendekatan berlainan dan ibu bapa perlu memadankan setiap pendekatan mengikut kesesuaian.
Berkongsi caranya mendidik, Sheikh Muszaphar tidak pernah berkira sama ada dari aspek masa atau wang ringgit untuk menghantar anak-anak ke kelas tertentu bagi mempelbagaikan kemahiran mereka.
Ujar Sheikh Muszaphar, langkah tersebut dapat membantu memudahkannya mencungkil bakat sebenar anak-anak melalui tunjuk ajar dan pengajaran daripada orang-orang berkelayakan.
“Ada orang yang mempersoalkan saya berduit, jadi bolehlah hantar anak ke kelas tertentu seperti bahasa Mandarin, taekwando, renang, muzik dan menunggang kuda. Mereka di kampung dan tidak berkemampuan tidak mampu menghantar kelas seperti itu.
“Sebenarnya, duit bukanlah segala-galanya, sebaliknya bergantung kepada usaha dan masa ibu bapa itu sendiri. Mereka yang berada di kampung mungkin boleh dedahkan anak-anak dengan aktiviti luar seperti hutan dan sungai.
“Dalam soal pelajaran pula, mereka mungkin boleh meminta bantuan daripada ahli keluarga atau jiran terdekat yang pandai. Tidak semestinya hantar ke kelas-kelas tertentu yang mengenakan yuran,” terangnya.

Meskipun masih terlalu awal untuk mengukur kejayaan didikan Sheikh Muszhapar dalam buku berkenaan, namun ini sudah boleh dilihat daripada kejayaan semasa anak-anaknya.
Menurutnya, prestasi Isabella dan Natasha sentiasa cemerlang dalam pelajaran, sukan, kerohanian dan sosial.
“Mereka berdua adalah pemegang tali pinggang hitam taekwando, fasih berbahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu serta berjaya khatam al-Quran pada usia enam tahun,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan terhadap buku My Way of Parenting, dia memberitahu, buku itu berjaya terjual sebanyak 70,000 naskhah dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.
Katanya, naskhah berharga RM85 itu bukan sahaja mendapat sambutan hangat masyarakat di negara ini, malah turut menerima permintaan ibu bapa di Britain, Australia dan India.
“Saya tidak sangka mendapat sambutan seperti ini. Ini jelas menunjukkan ramai ibu bapa yang dahagakan satu bentuk penulisan berkaitan kemahiran keibubapaan yang lebih moden seiring peredaran zaman.
“Ekoran sambutan luar biasa itu, saya sedang berusaha menyiapkan naskhah bertajuk Mendidik Anak Lelaki Vs Anak Perempuan yang dijangka dikeluarkan pada akhir tahun ini,” tuturnya.
















