fbpx

KOM fokus pendedahan atlet remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUTHU mendedahkan hajat badan induk sukan olahraga itu sendiri mahu menghantar 60 peratus atlet muda dan 40 peratus barisan senior bertanding pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam tahun depan.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sanggup mengeluarkan kos yang lebih banyak demi pendedahan atlet-atlet muda pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan.

Ia selaras dengan polisi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan juga hajat badan induk sukan olahraga itu sendiri mahu menghantar 60 peratus atlet muda dan 40 peratus barisan senior bertanding pada temasya sukan Asia Tenggara tersebut.

“Ada sedikit perubahan kerana kita akan hantar 60 peratus atlet muda dan 40 peratus senior ke Sukan SEA. Kos kita jangan ambil kira, kalau mahu menang pingat, semua perlu beri kerjasama,” kata Presiden KOM, Datuk S. M. Muthu.

Beliau berkata sedemikian selepas mesyuarat kriteria pemilihan Sukan SEA antara MOM dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan di Wisma MOM, Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Ia memberi gambaran bahawa tiada jaminan tempat buat lima pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina, sebaliknya kesemua mereka tetap perlu bersaing merebut tempat dalam 60 peratus slot yang ditetapkan KOM untuk atlet senior ke Vietnam.

Lima atlet dimaksudkan ialah raja pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Lee Hup Wei dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Mohd. Manshahar Abdul Jalil berkata, pihaknya masih belum menetapkan kriteria pemilihan ke Sukan SEA 2021.

“Mereka yang menang pada Sukan SEA 2019 belum tentu terpilih kerana masa masih lagi panjang. Mungkin juga akan ada gabungan seorang atlet senior dan remaja dalam setiap acara nanti.

“Buat masa ini kami belum menetapkan lagi sasaran dan kriteria pemilihan. Kita tunggu beberapa kejohanan yang akan dianjurkan dahulu selepas ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI