fbpx
FAZURA

Fazura tiada alasan berehat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEKAL aktif dan bekerja, itulah yang boleh digambarkan tentang jadual kehidupan figura tersohor, Nur Fazura Sharifuddin sepanjang kehamilan sulungnya.

Memasuki bulan kelapan usia kandungan, Fazura masih lagi ligat ke sana sini bekerja seperti biasa tanpa sebarang tanda untuk bergerak lebih perlahan.

Malah, sebelum menyambut cahaya mata pertama bulan hadapan, Fazura sempat meluaskan cabang perniagaannya apabila melancarkan produk penjagaan wajah, Fazura Skincare.

Sewaktu hadir di majlis yang berlangsung di Lightbox, Sungai Buloh baru-baru ini, jelas terpancar seri wajah ibu mengandung ini tanpa terlihat raut kepenatan.

“Saya tidak suka memanjakan diri hanya kerana sedang sarat mengandung. Sejujurnya sejak hamil, saya dapat rasakan semangat saya lebih berkobar-kobar untuk membuat pelbagai perkara.

“Saya juga bersyukur kerana tidak mengalami sebarang alahan dan boleh dikatakan proses kehamilan saya agak lancar, Alhamdulillah,” katanya sambil tersenyum lebar.

FAZURA berasa beruntung kerana suaminya, Fattah Amin merupakan seorang yang sangat penyabar dan memahami sepanjang kehamilan sulung.

 

Rehat

Andai dihitung, hanya tinggal sekitar sebulan sahaja lagi sebelum wanita berusia 37 tahun ini bertukar status menjadi ibu.

Mengakui perasaannya masih lagi bercampur baur menanti detik itu, Fazura berkata, dia masih akan cuba kekal sama biarpun sudah beranak satu.

Tidak mahu mengambil masa terlalu lama berehat selepas bersalin, dia bercadang untuk terus kembali aktif sebaik sahaja tamat pantang 44 hari.

“Saya sudah biasa bekerja jadi tidak boleh duduk terperuk di rumah terlalu lama.

“Rasanya tempoh berpantang sudah memberi masa yang cukup untuk saya berehat,” ulasnya lagi.

Saat ditanya tentang persiapan yang dibuat untuk anak tersayang, Fazura mengakui belum mempunyai masa mencari barang kelengkapan bayi.

Katanya, dia sedikit bertenang dalam melakukan persediaan kerana tidak menerima sebarang tekanan daripada keluarga.

“Suami, mertua dan keluarga saya semuanya tidak memaksa saya membuat persediaan secepat mungkin untuk anak yang bakal dilahirkan.

“Mereka semua membiarkan saya mengambil masa dan membuat persiapan mengikut rentak sendiri. Lagipun saya bercadang untuk menyediakan barang-barang asas sahaja dan tidak terlalu mengikut hati dalam berbelanja,” ujarnya tenang.

FAZURA memberitahu bayinya kelak akan dijaga oleh ahli keluarga apabila dia dan suami keluar bekerja kerana mereka sukar percaya dengan orang luar.

 

Hadiah

Sementara itu, bercakap tentang Fazura Skincare, pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 ini berkata, produk itu adalah perkongsian peribadi buat peminatnya.

Kata Fazura, dia sering mendapat permintaan daripada peminat untuk berkongsi rahsia penjagaan kulit wajah di laman sosial.

Sebaik sahaja menamatkan kontrak dengan jenama penjagaan wajah tersohor tahun lepas, dia memutuskan sudah tiba masanya dia mengeluarkan produk sendiri.

HANYA akan berehat selepas melahirkan anak sulung Oktober ini, Fazura akan kembali kerja sebaik tamat berpantang 44 hari.

 

“Fazura Skincare adalah hadiah saya buat peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya selama ini.

“Ramuan dan bahan-bahan yang digunakan dalam Fazura Skincare adalah berkualiti tinggi, namun boleh dimiliki dengan harga sangat berpatutan,” terangnya satu per satu.

Selain produk baharu, anak kelahiran Pekan, Pahang ini turut berkongsi berita kejayaan tentang lagu kolaborasi bersama penyanyi Amerika Syarikat, Jesse Ruben yang bertajuk Be Honest.

Single yang direkodkan bersama penerbit Willy Beaman dan juga penyanyi serta penulis lirik Cameron Forbes di Los Angeles tahun lalu telah dimainkan lebih tujuh juta kali di seluruh platform.

“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan kepada lagu Be Honest sejak dilancarkan November tahun lalu.

“Semoga sambutan sama dapat diberikan kepada single balada Melayu saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi sebelum saya berehat untuk bersalin dan berpantang,” katanya menyimpul perbualan.


SET eksklusif Fazura Skincare lengkap dengan pencuci wajah, skrub wajah, krim siang dan malam dan juga serum bersaiz mini yang dijual dengan harga RM89.90 setiap satu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN