fbpx

SPRM Pahang kumpul maklumat isu pekebun haram di Raub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam Baki

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah diarahkan mengumpulkan maklumat berhubung dakwaan isu pekebun haram durian Musang King di Raub.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, penyiasatan itu turut melibatkan pengumpulan maklumat lanjut daripada Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Negeri Pahang.

“Kita ada menerima maklumat berhubung dakwaan kes pencerobohan tanah kerajaan negeri di Raub, namun belum ada laporan rasmi dikemukakan (kepada SPRM).

“Bagaimanapun kita telah mengarahkan walaupun begitu saya telah arahkan Pengarah SPRM Pahang melihat isu ini kerana ia melibatkan kepentingan awam,” katanya pada sesi dialog sempena Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Selatan di Banda Hilir, di sini.

Beliau terdahulu mengulas isu tindakan tegas yang diambil kerajaan Pahang selepas mendapati terdapat kegiatan mengusaha kebun durian secara haram di Raub sehingga menyebabkan negeri itu mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun.

Media sebelum ini melaporkan seramai 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri Pahang berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub, Pahang.

Tambahnya, pihaknya juga perlu mengenal pasti punca sebenar dakwaan yang dibuat sebelum boleh mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azam berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk menyekat kemasukan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Sabah.

Katanya, perkara tersebut hanyalah kekeliruan yang berlaku dalam isu melibatkan Ahli Parlimen Bagan yang kini terbabit dalam kes perbicaraan di mahkamah.

“Sabah mempunyai sistem Imigresen yang tersendiri dan berkemungkinan nombor pasport Guan Eng dikesan dalam pangkalan data yang menghalangnya untuk ke luar negara.

“Saya perlu betulkan kami tak pernah tahan beliau daripada memasuki Sabah, apa yang berlaku arahan mahkamah untuk dia tak boleh ke luar negara sahaja,” katanya.

Malam tadi, Guan Eng mendakwa beliau dihalang masuk ke Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu biarpun berjaya melepasi Imigresen lapangan terbang itu selepas diberikan pas lawatan sosial.

Dakwanya, beliau dihalang oleh SPRM daripada memasuki Sabah dan telah diarahkan masuk semula ke pejabat Imigresen sebelum sempat menaiki kereta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI