fbpx

Masih bersekolah sudah urus rumah judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam tertuduh keluar dari Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan urus rumah judi secara haram di sebuah kondominium mewah minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menguruskan rumah judi secara haram di sebuah kondominum  mewah minggu lalu.

Bagaimanapun keenam-enam tertuduh iaitu Leong Kah Chun, 28, Chong Wei Quan, 29, Pon Jia Ling, 18, Yap Li Hua,19, dan dua remaja bawah umur berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Tawfiq Affendy Chin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama telah menguruskan rumah judi terbuka di sebuah unit The Robbertson, Jalan Robbertson di sini pukul 4.45 petang pada 28 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 dan penjara maksimum penjara tiga tahun dan jumlah denda sama bagi setiap mesin judi yang disita jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 pada setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam P.Chandra yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu memandangkan ada diantara tertuduh yang tidak bekerja dan masih bersekolah.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Tawfiq membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 19 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menyerbu kondominium itu dan membuat analisa ke atas komputer riba serta telefon bimbit yang digunakan.

Hasil daripada pemeriksaan serta analisa yang dibuat telah mengesyaki adanya unsur-unsur perjudian atas talian berkait item-item tersebut.

Kesemua tertuduh kemudian ditangkap kerana disyaki terlibat menjalankan aktiviti penipuan judi atas talian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI