fbpx

Aplikasi Moovby mudahkan proses sewaan kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIK MUHAMMAD AMIN menunjukkan aplikasi Moovby yang memudahkan proses sewaan kereta pada masa ini.

UMUM mengetahui bahawa kereta pada masa ini adalah satu keperluan dan bukan barang mewah. Ia membolehkan seseorang untuk bergerak ke sesuatu destinasi dengan lebih mudah.

Boleh dikatakan majoriti rakyat negara ini memiliki sekurang-kurangnya sebuah kereta bagi setiap orang.

Biarpun ia memudahkan untuk bergerak, namun bagi sesetengah orang memiliki kereta menjadi beban kerana mereka mesti memperuntukkan sejumlah wang bagi membayar ansuran bulanan kepada institusi kewangan untuk kenderaan terbabit.

Kini mereka tidak perlu risau lagi kerana menerusi kereta tersebut, boleh menjana pendapatan secara pasif dengan Moovby.

Moovby adalah satu aplikasi perkongsian kereta yang mana pemilik kereta boleh menyewa kenderaan mereka kepada orang ramai.

Pengasas dan juga Ketua Pegawai Operasi Moovby, Nik Muhammad Amin Nik Muhammad Kamil berkata, Moovby adalah satu platform yang menjadi penghubung antara pemilik dan penyewa kereta.

“Moovby tidak memiliki kereta, sebaliknya kami menjadi pemudah cara untuk mereka di luar sana yang ingin menyewa kenderaan mereka.

“Sehingga kini lebih 6,000 pemilik kereta di dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia telah berdaftar dengan kami,” katanya.

Tambahnya, lebih 280 variasi kereta untuk disewa boleh didapati di aplikasi tersebut.

Selain kereta daripada model biasa seperti Proton, Perodua atau Honda, mereka di luar sana juga boleh menyewa kereta mewah seperti Lamborghini, Porsche dan lain-lain.

Pengesahan dokumen

Nik Muhammad menjelaskan, dengan beberapa langkah mudah, pemilik kereta boleh mendaftar dan menawarkan kenderaan mereka untuk disewa.

Tegasnya, untuk mendaftar pemilik kereta perlu menyediakan beberapa dokumen untuk pengesahan.

“Pengesahan ini semuanya dilakukan secara atas talian di aplikasi Moovby.

“Pemilik kenderaan hanya perlu memuat naik dokumen seperti salinan geran, insurans untuk tujuan pengesahan. Sekiranya semua dokumen lengkap pengesahan akan disahkan dalam tempoh masa 30 minit dan kemudian kereta itu boleh untuk disewa,” ujarnya.

 

ANTARA kenderaan mewah yang boleh disewa melalui aplikasi Moovby.

 

Bagi memastikan kereta sewa itu masih dalam keadaan baik, syarat lain yang ditetapkan oleh Moovby adalah kenderaan tersebut mestilah berusia tidak lebih daripada 10 tahun.

Selain itu, dalam masa terdekat Moovby juga akan mempertimbangkan untuk membolehkan kereta antik turut boleh disewa di aplikasi tersebut.

Nik Muhammad Amin mengakui, ada permintaan oleh pelanggan untuk menyewa kereta antik.

“Sebelum membenarkan kereta antik disewa, kami juga akan melaksanakan proses pemeriksaan terlebih dahulu terhadap kenderaan tersebut bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik sebelum disewa,” katanya.

Dalam pada itu, Moovby dibangunkan sepenuhnya oleh anak muda tempatan yang berkemahiran dalam membangunkan aplikasi.

Di dalam aplikasi tersebut, turut disediakan beberapa fungsi untuk memudahkan penyewa mencari kenderaan yang mereka inginkan.

Terdapat juga fungsi kategori jenis-jenis kereta yang mana penyewa hanya perlu menggunakan enjin carian dengan menaip jenis kereta diingini.

Di aplikasi itu juga, pemilik kereta akan memuat naik gambar berserta deskripsi tentang kereta mereka.

Melalui aplikasi tersebut juga, pemilik dan penyewa akan dilindungi dengan insurans jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti kemalangan.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun di platform GooglePlay dan Appstore.

Nik Muhammad Amin menjelaskan, di aplikasi itu pemilik kereta akan menentukan sendiri berapa harga sewaan kenderaan mereka.

“Kami cuma memberi cadangan harga mengikut pasaran semasa dan akhir sekali, pemilik kereta akan menentukan harga,” katanya.

Melalui aplikasi tersebut, pemilik dan penyewa kereta boleh berinteraksi secara langsung bagi memudahkan proses penyewaan dilaksanakan.

Setelah bayaran sewaan dibuat, penyewa boleh datang mengambil kenderaan di lokasi dipersetujui.

Dalam pada itu, Nik Muhammad Amin menegaskan, melalui aplikasi tersebut boleh membantu pemilik kereta menjana pendapatan bulanan secara pasif.

Tegasnya, purata pendapatan yang boleh dijana adalah RM3,125 sebulan.

“Kebiasaannya, sehari penggunaan kereta sekitar dua jam bagi mereka yang bekerja. Sebenarnya mereka boleh menyewakan kenderaan sewaktu bekerja melalui aplikasi ini.

“Bagi mereka yang memiliki dua atau tiga buah kereta juga boleh menggunakan aplikasi ini dan menjana pendapatan bulanan,” katanya.

Tambahnya, pemilik kereta juga tidak perlu risau kereta mereka dicuri oleh penyewa atau sebagainya.

Ini kerana, penyewa perlu mendaftar terlebih dahulu di aplikasi dengan memasukkan butiran peribadi mereka sekiranya mahu menggunakan perkhidmatan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI