Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Seorang nelayan yang dicari rakan-rakannya sejak tengah hari ditemui mati di bawah bangsal didiaminya di Kuala Paka dekat sini malam tadi.
Mayat Ramli Abdul Rahim, 44, ditemui dalam keadaan cuma bertuala oleh enam rakan-rakannya yang juga nelayan pada pukul 10.30 malam.
Ketu Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum itu, kelibat Ramli kali terakhir ditemui ketika sedang keluar minum dengan kawannya di sebuah restoran di bandar Paka dekat sini pada malam kelmarin.
“Kawan-kawan yang mencarinya di bangsal berkenaan cuma menemui pakaian, dompet dan telefon bimbit milik Ramli.
“Mereka kemudiannya menyuluh bawah bangsal itu dengan menggunakan lampu suluh sebelum menemui mayat nelayan itu sedang duduk dalam keadaan bertuala sahaja,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Baharudin berkata, mayat Ramli telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.
“Pemeriksaan mendapati tiada penemuan unsur jenayah pada tubuh lelaki itu dan setakat ini kematiannya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. – K! ONLINE














