fbpx

Penganggur mati dipukul akibat telefon bimbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Gara-gara telefon bimbit, seorang lelaki mati selepas dipukul menggunakan kayu dalam kejadian di taman permainan perumahan Ken Rimba, Seksyen 16 di sini Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa berusia 27 tahun yang merupakan penganggur disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian dikatakan berlaku apabila adik saudara mangsa telah menghubungi abang kandungnya berusia 23 tahun pukul 10.30 malam memaklumkan telefon bimbitnya diambil rakan dikenali Kak Long secara paksaan atas alasan berhutang dengan perempuan tersebut.

Katanya, lelaki itu kemudiannya telah pergi ke taman permainan itu untuk berjumpa dengan Kak Long sebelum disusuli kehadiran mangsa di lokasi sama.

Difahamkan, mereka gagal menemui perempuan tersebut yang telah menghilangkan diri sejak enam hari sebelum kejadian bunuh itu.

“Mangsa kemudiannya mengajak keluarga Kak Long bagi menyelesaikan perkara tersebut selain menanti kehadiran perempuan berkenaan di taman permainan tersebut.

“Kemudiannya berlaku pertengkaran sebelum membawa pergelutan antara adik lelaki Kak Long,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, pakcik kepada Kak Long telah datang dan terus memukul belakang badan simati menggunakan kayu yang diambil daripada but kenderaan.

Ujar Baharudin, mangsa yang mengalami sesak nafas telah meminta adik saudara mengambil ubat sakit jantungnya di rumah.

“Lelaki tersebut yang kembali ke lokasi kejadian mendapati abang saudaranya tiada di lokasi sebelum dimaklumkan telah dibawa ke HSA oleh pakcik Kak Long.

“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik lelaki itu tiba di hospital pukul 12.10 tengah malam sebelum membuat laporan di pondok polis HSA,” katanya.

Jelas beliau, susulan itu pihaknya telah menahan lima suspek berusia 14 tahun hingga 37 tahun kelmarin pada pukul 7.50 pagi.

“Semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes-kes samun, curi motosikal dan juga dadah.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada sebuah telefon bimbit milik adik saudara mangsa yang diambil oleh salah seorang daripada keluarga suspek,” katanya.

Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI