fbpx

Pemain diberi peluang buat keputusan di atas padang – Arul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARUL sedia membuka pintu buat pemain-pemain yang digugurkan untuk kembali ke dalam pasukan kebangsaan yang dikendalikannya ketika ini.

KETUA jurulatih skuad hoki kebangsaan, Arul Selvaraj sedia memberikan lebih kuasa kepada pemain selepas beliau dilantik menggantikan Roelant Oltmans yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Bekas jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, kuasa lebih yang dimaksudkan adalah memberi peluang kepada pemain untuk bertanggungjawab serta membuat keputusan di atas padang.

Justeru, Arul berpendapat, pendekatannya itu mampu mematangkan pasukan selain dilihat sebagai pemangkin untuk pemain menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Saya tidak bimbang untuk beri kuasa kepada mereka kerana saya masih berkuasa penuh ke atas pasukan. Kuasa pemain ini maksudnya saya mahu mereka buat keputusan di atas padang serta kongsi idea masing-masing.

“Ramai pemain yang memiliki 100 hingga 150 kaps bersama pasukan negara, jadi perlu sedar bahawa mereka adalah ketua dan perlu berani galas tanggungjawab di atas padang,” katanya pada sidang akhbar Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan di Bukit Jalil semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak dan Penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim.

Pada masa sama, Arul percaya keputusan memberikan kuasa kepada pemain mampu meningkatkan semangat serta motivasi mereka untuk mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan.

Selain itu, beliau turut menegaskan, semua pemain perlu berani mengakui kesilapan yang dilakukan, bukan hanya menuding jari kepada jurulatih mahupun persatuan.

“Ada beberapa pemain yang sudah berada dalam perhatian saya untuk diberikan kuasa, jadi saya akan hubungi mereka nanti. Saya yakin ia mampu menjadi tonik kepada pemain untuk menang.

“Sementara itu, mereka juga perlu mengakui jika ada lakukan kesilapan. Saya tidak mahu mereka berikan alasan dengan menyalahkan jurulatih serta persatuan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI