fbpx

[VIDEO] Ketua Polis Negeri Sembilan saksi pertama inkues Nora Anne

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban sebelum prosiding inkues kematian Nora Anne hari ini.

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEREMBAN – Mahkamah Koroner Seremban hari ini memulakan inkues kematian Nora Anne Quoirin yang merupakan remaja Ireland bermula pukul 9 pagi tadi.

Prosiding inkues dimulakan dengan saksi pertama yang merupakan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop untuk memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid.

Timbalan Pendakwa Raya dan juga pegawai pengendali inkues, Muhamad Iskandar Ahmad mengendalikan kes.

Sebelum itu, Muhamad Iskandar telah memaklumkan kepada koroner, inkues tersebut merupakan prosiding pendengaran penyiasatan bagi memastikan beberapa perkara iaitu siapakah si mati iaitu Nora Anne, bagaimana si mati menemui ajal dan bilakah si mati menemui ajal.

Selain itu, prosiding itu untuk mengetahui apakah punca kematian si mati dan apakah kematian tersebut disebabkan oleh perbuatan ataupun kecuaian mana-mana pihak.

Prosiding inkues tersebut dijadualkan berjalan selama dua minggu dan dijangka seramai 64 saksi utama akan dipanggil memberikan keterangan.

Namun, jelas koroner, jumlah saksi tersebut boleh berubah sama ada berkurang ataupun bertambah bergantung kepada testimoni dan bukti yang diberikan.

Wakil media tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai agensi tiba di luar Kompleks Mahkamah Seremban seawal pukul 7.30 pagi bagi membuat liputan prosiding kes tersebut.

Nora Anne dilaporkan hilang dari resort The Dusun Pantai Hill, Seremban pada 4 Ogos tahun lalu semasa sedang bercuti bersama ibu, Maebh Jaseprine Quorin, 47, dan bapa, Sebastian Marie Philipe, 48, serta dua adiknya.

Pada 15 Ogos tahun lalu, polis kemudian mengesahkan Nora Anne yang berusia 15 tahun ketika kejadian itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang.

Sepanjang inkues berlangsung, Badan Kehakiman Malaysia juga akan mengadakan penstriman langsung (live Streming) untuk tontonan umum yang boleh disaksikan melalui portal rasmi badan itu di pautan www.kehakiman.gov.my dan sosial media rasmi  di Youtube serta Facebook The Malaysian Judiciary. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI