fbpx

Kepincangan agihan kekayaan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN AZHAR WAN ABDULLAH, PENOLONG PENGARANG BERITA

 

Pernahkah kita terfikir nilai kekayaan yang ada di seluruh dunia ini.

Menurut Laporan Kekayaan Global, kekayaan terkumpul seluruh dunia pada tahun 2019 dianggarkan berjumlah sekitar AS$360 trilion (RM1.504 kuadrilion).

Jika kekayaan tersebut diagihkan secara sama rata, berapakah jumlah yang akan diterima oleh setiap individu?

Seorang bekas eksekutif dana lindung nilai berkata, setiap penduduk dunia akan menerima kekayaan melebihi AS$34,000 (RM142,000). Walaupun tidak banyak, namun ia sudah cukup untuk melenyapkan terma miskin tegar.

Namun realitinya, hampir separuh kekayaan dunia dimiliki oleh jutawan. Laporan sama menyebut bahawa terdapat seramai 46.8 juta jutawan di seluruh dunia dengan anggaran kekayaan AS$158.3 trilion (RM661.6 trilion).

Amerika Syarikat mempunyai kira-kira 675,000 jutawan.

Apa yang lebih menarik adalah laporan tersebut menyebut bahawa golongan paling kaya hanya merangkumi 10 peratus penduduk dunia.

Oxfam International me­nyatakan, seramai 4.6 bilion penduduk dunia pula memiliki satu peratus daripada kekayaan global.

Bagaimanapun, ahli-ahli ekonomi menerangkan keberadaan tersebut menerusi ‘aturan sejagat’ yang dinamakan Prinsip Pareto.

Prinsip Pareto yang juga dikenali sebagai aturan 80/20 menyatakan bahawa dalam banyak kejadian, 80 peratus akibat dipengaruhi oleh 20 peratus penyebab. Sebagai contoh, 80 peratus pendapatan sebuah syarikat datang daripada 20 peratus pelanggannya.

Aturan tersebut merujuk kepada seorang ahli fikir Itali, Vilfredo Federico Damaso Pareto. Pareto mendapati bahawa 20 peratus pokok kacang pea di kebunnya menghasilkan 80 peratus kacang yang sihat.

Bolehkah kita katakan bahawa ketidakimbangan agihan kekayaan di dunia ini adalah hukum alam?

Apa pun usaha yang dilakukan, golongan minoriti akan meneruskan monopoli kekayaan.

Ataupun ketidakimbangan yang berlaku menunjukkan wujud kepincangan dalam sistem ekonomi, perbankan dan perniagaan yang menjadi amalan dari dahulu lagi.

Pembahagian kekayaan yang lebih adil bukanlah bermakna seseorang itu berpegang kepada ajaran komunisme yang mendukung masyarakat tanpa kelas dan semua orang mendapat upah yang sama sekali gus menyanggah ­kapitalisme.

Harus juga diingat bahawa kebangkitan fahaman marxime yang membawa kepada revolusi komunis dan kematian ratusan ribu orang berpunca daripada ketidakadilan dalam pembahagian kekayaan selain penindasan.

Ketidakimbangan pembahagian kekayaan yang berlaku hingga kini pastinya akan mengundang masalah serius pada masa hadapan.

Apatah lagi, jurang ketidakimbangan tersebut bertambah pada ketika dunia bergelut dengan pandemik koronavirus yang tidak menampakkan tanda-tanda akan berakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI