fbpx

Kaedah pentaksiran berpusat ganti UPSR, PT3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan murid tingkatan 1 dan tingkatan empat ke sekolah khusus tahun depan.

Sekolah terbabit meliputi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membangunkan satu sistem permohonan kemasukan murid tingkatan satu dan tingkatan empat ke sekolah-sekolah khusus secara single entry point.

“Sistem ini membabitkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.

“Permohonan kemasukan ke sekolah khusus ini membabitkan SBP dan SMKA untuk pelajar tingkatan satu dan empat, Sekolah Menengah Teknik (tingkatan empat), Kolej Vokasional (Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia) dan MTD untuk tingkatan empat,” katanya.

KPM berkata, pentaksiran kemasukan sekolah khusus itu merangkumi tiga bahagian iaitu Ujian Kecerdasan Intelektual dengan penilaian sebanyak 70 peratus, Kecerdasan Insaniah sebanyak 20 peratus dan Artikulasi Penulisan (10 peratus).

Katanya, Ujian Kecerdasan Intelektual dan Kecerdasan Insaniah akan dibuat secara online manakala kaedah pelaksanaan ujian Artikulasi Penulisan adalah secara bertulis.

“Semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 buah pusat pentaksiran yang ditetapkan di seluruh negara.

“Maklumat lanjut berhubung pentaksiran ini akan dimaklumkan melalui portal KPM pada 1 September depan,” katanya.

Sehubungan itu, KPM berkata, permohonan untuk kemasukan ke tingkatan satu boleh dibuat secara online mulai 7 September hingga 2 Oktober depan dengan mengakses pautan https//:spskt1.moe.gov.my.

Permohonan ke tingkatan empat dan tahun 1 SVM pula boleh dibuat mulai 7 September hingga 2 Oktober melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.

Bagi kemasukan ke tingkatan 1, semakan pusat pentaksiran boleh dibuat mulai 7 Oktober hingga 23 Oktober depan manakala kemasukan ke tingkatan 4, boleh berbuat demikian mulai 12 Oktober hingga 6 November depan.

Pelaksanaan pentaksiran pula akan dibuat 12 hingga 23 Oktober depan bagi tingkatan 1 manakala 26 Oktober hingga 6 November untuk tingkatan 4. -K! ONLINE

POPULAR