fbpx

Video tular Dylea raih tontonan hampir 3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dylea

TIADA siapa menyangka video nyanyiannya satu ketika dahulu pernah menyita banyak pihak.

Lima tahun masa berlalu, pemilik nama sebenar Noradilah Jamaludin itu pernah menyanyikan lagu Madah Berhelah dendangan Ziana Zain.

Video nyanyian sekadar suka-suka yang kemudiannya dimuat naik ke dalam YouTube tiba-tiba membuahkan sesuatu yang tidak diduga.

Wanita yang mesra disapa Dylea itu tidak menjangka video nyanyian pada majlis perkahwinan jirannya dahulu meninggalkan impak, sehingga diburu banyak pihak.

“Saya sendiri tidak menyangka video itu sudah ditonton hampir tiga juta pelayar sehingga ke hari ini. Mungkin orang melihat ada yang istimewa tentang video tersebut meskipun pada peringkat awal, saya kurang memahami situasi itu.

“Tetapi setelah beberapa tahun video tersebut tular barulah saya mula memahami sedikit demi sedikit sehingga membulatkan nekad untuk bergelar penyanyi,” katanya wanita berusia 24 tahun itu tenang.

Bercakap tentang perjalanan karier seninya, Dylea bersyukur kerana diberikan kesempatan merakamkan lagu Untuk Aku yang dijadikan taruhan ketika ini.

Meskipun ada yang menganggap perjalanan seninya harus bermula lebih awal ketika video tersebut tular, Dylea ada alasan tentang kelewatannya terjun ke industri hiburan.

“Kira-kira lima tahun yang lalu, memang ramai yang menghubungi saya dan memberikan peluang untuk menjadi artis rakaman.

“Mereka datang menawarkan pelbagai jenis lagu dan tawaran istimewa.

“Tetapi saya tidak mahu gopoh dalam hal begini. Nak jadi penyanyi bukan boleh main-main dan saya perlu asah bakat terutama aspek vokal memandangkan saya tiada asas,” tambahnya.

Tidak berasa ralat mahupun menyesal dengan keputusan yang telah diambil, kini keyakinan Dylea terbukti apabila rasmi bergelar artis rakaman.

Single Untuk Aku terbitan Family Tree Media Sdn. Bhd. yang berentak balada tersebut disifatkan mempunyai keistimewaan untuk menambat hati pendengar.

“Saya pernah dirisik oleh beberapa syarikat rakaman, namun ketika itu belum ada rezeki.

“Jadi apabila ada yang kembali memberikan peluang dan percaya kepada bakat saya, ini peluang terbaik yang tidak boleh dilepaskan.

“Atas dorongan dan keyakinan beberapa pihak, saya memberanikan diri untuk menerjah industri seni dengan lagu ini.

“Besar harapan saya agar lagu ini diterima baik oleh semua,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan itu serius.

Wanita yang bergelar usahawan itu juga mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang nyanyian, namun dalam masa yang sama terus maju dalam bidang perniagaan yang sedang diusahakan.

Untuk Aku merupakan tulisan Intan Saharudin, manakala melodinya oleh Zamzoy dan Sheikh Qalam sudah boleh didengar menerusi platform YouTube, Spotify, Joox dan beberapa medium penstriman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI