fbpx

Nikmati air nira di ladang nipah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUNJUNG boleh menaiki sampan dalam kolam sambil menikmati keindahan sawah padi menghijau. – IHSAN FB NIRA NIPAH NAPIAH

TERLETAK kira-kira 20 kilometer dari bandar Sungai Petani, Kedah, Kampung Sungai Pial menjadi destinasi tarikan pelancongan terbaharu di negeri Jelapang Padi.

Kampung yang terkenal dengan keindahan pemandangan sawah padi terbentang luas serta kehijauan Gunung Jerai itu menjadi lokasi terletaknya Ladang Nira Nipah Napiah.

Memiliki ladang nipah keluasan 0.5 hektar, lokasi berkenaan tidak pernah sunyi dengan kehadiran para penggemar air nira nipah sama ada dari kawasan sekitar mahu pun luar negeri.

Pemilik Ladang Nira Nipah Napiah, Mohd. Hanafiah Yahya, 49, memberitahu, ladang berkenaan menawarkan pengalaman berbeza kepada para penggemar air nira.

Jelasnya, para pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman menikmati kesegaran air nira di bawah rimbunan daun pohon nipah.

“Ladang ini mula beroperasi secara rasmi pada awal tahun lalu. Sejak dibuka, ia sentiasa menjadi tumpuan penggemar air nira dari seluruh negara.

“Di sini, pengunjung bukan sahaja boleh minum, malah mereka boleh melihat pokok dan mempelajari proses mengumpul air nipah daripada tandan buahnya,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

 

MOHD. HANAFIAH mengutip nira dari ladangnya empat kali sehari bagi menjamin kesegaran.

 

Ladang Nira Nipah Napiah mendapat bantuan dan khidmat nasihat daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dan Jabatan Pertanian.

Pokok nipah atau nama botaninya nypa fruticans, sejenis palma yang tergolong dalam keluarga pokok bakau.

Ia boleh dijumpai di kawasan berpaya di sekitar Asia Tenggara dan utara Australia. Tandan buah nipah yang belum mekar akan menghasilkan nira iaitu cecair manis.

Air nira nipah sangat popular dalam kalangan masyarakat di utara tanah air sebagai minuman pembasah tekak ketika musim kemarau.

Mohd. Hanafiah mula mengusahakan ladang berkenaan sejak sedekad lalu selepas melihat tanah pusaka berkenaan terbiar begitu sahaja.

Bagaimanapun, idea membuka ladang berkenaan kepada pengunjung tercetus pada tahun lalu selepas melihat potensi untuk dikembangkan menjadi produk pelancongan.

 

MENU mi udang turut disediakan
di Ladang Nira Nipah Napiah.

 

“Selepas ladang ini dibuka, saya dapati ramai orang selalu singgah di sini untuk menikmati pemandangan di kawasan sekitar. Daripada situ, saya dapat idea membuka ladang ini untuk kunjungan orang ramai.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat menggalakkan dengan purata pengunjung sekitar 500 orang sehari.

“Jumlah berkenaan akan meningkat dua kali ganda menjelang hujung minggu dan cuti umum,” ujar Mohd. Hanafiah sambil memaklumkan, ladangnya mampu memuatkan seramai 150 orang pada satu-satu masa.

Buat masa ini, ladang berkenaan memiliki sekitar 100 batang pokok nipah yang mampu menghasilkan antara 20 hingga 25 liter air nira sehari.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan, dia mendapatkan bekalan air nira dari ladang nipah milik rakan karibnya yang terletak kawasan sekitar.

“Saya sentiasa menjaga kualiti dan kesegaran air nira nipah. Saya hanya menggunakan beg plastik sebagai medium tadahan air nira bagi mengelak ia dimasuki serangga dan habuk.

“Air nira ini diambil empat kali sehari. Ia tidak boleh dibiarkan lama kerana akan menjadi masam,” katanya.

Menurut Mohd. Hanafiah, dia hanya menjual air nira dalam bentuk gelas iaitu RM3 segelas bersamaan 300 mililiter.

Selain air nira, pengunjung juga boleh menikmati beberapa hidangan istimewa di ladang berkenaan seperti mi udang, nasi goreng udang, nasi goreng ayam dan char kuetiau.

Hidangan berkenaan boleh diperoleh pada harga bermula RM5 hingga RM18.

 

PARA pengunjung boleh merasai pengalaman minum air nira di dalam Ladang Nira Nipah Napiah di Kampung Sungai Pial, Merbok.

 

Selain pengalaman menikmati air nira dalam ladang nipah, tarikan utama ladang tersebut terletak kepada keindahan pemandangan sawah padi serta Gunung Jerai.

Tambah menarik, di tengah-tengah ladang tersebut terdapat sebuah kolam kecil yang boleh diterokai oleh pengunjung menggunakan sampan.

“Kebanyakan pengunjung amat tertarik dengan suasana desa dan sawah padi di sini.

“Ada pengunjung sanggup menghabiskan masa dua atau tiga jam untuk menikmati pemandangan,” katanya.

Seorang pengunjung, Shamsul Anuar Samsudin, 39, berkata, dia berkunjung ke ladang Nira Nipah Napiah selepas tertarik dengan pemandangan di kawasan sekitarnya.

Dia yang berasal dari Sungai Petani menjelaskan, pemandangan desa di kawasan sekitar ladang tersebut sangat cantik terutamanya pada waktu petang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI