fbpx

Najis gajah kukus bukan penawar Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WINDHOEK, NAMIBIA – Menteri Kesihatan Namibia, Kalumbi Shangula kelmarin mengingatkan orang ramai agar tidak menghidu najis gajah yang dikukus sebagai satu cara menjauhi jangkitan wabak koronavirus.

Sebahagian besar masyarakat di negara itu beralih kepada pelbagai teknik rawatan tradisional dengan harapan untuk melindungi diri daripada jangkitan virus pembunuh itu.

Sebelum ini, masyarakat tempatan mengamalkan perbuatan menghidu najis gajah yang dikukus sebagai satu kaedah merawat selesema. Bagaimanapun, cara rawatan itu belum dibuktikan keberkesanan secara saintifik.

Negara Afrika itu menyaksikan peningkatan hampir dua kali ganda jumlah jangkitan Covid-19 berbanding bulan lalu, mencatat sebanyak 4,464 kes dan 37 kematian setakat ini.

“Saya bimbang dengan kumpulan penjahat yang mendorong orang lain berbelanja wang, membeli remedi rawatan tidak berguna dengan harapan mereka boleh sembuh.

Kalumbi Shangula

 

“Seseorang yang terdesak mungkin melakukan suatu perkara luar jangka. Ini tidak beretika. Jangan bazirkan wang untuk remedi tidak berguna,” kata Shangula sambil menyifatkan penjual najis gajah sebagai ‘mengambil kesempatan’.

Kementerian Alam Sekitar Namibia menyatakan pihaknya menerima khabar orang ramai membeli dan menjual semula najis gajah sebagai satu kaedah merawat Covid-19.

“Kami tahu najis gajah digunakan sebagai ubat tradisional di beberapa tempat di negara ini,” kata jurucakap kementerian, Romeo Muyunda pada Isnin lalu.

Beliau menasihatkan penduduk agar tidak menceroboh masuk ke taman negara untuk mencari najis gajah kerana mereka boleh dikenakan saman.

“Mengumpul najis gajah di luar kawasan taman negara tidak dilarang. Kami minta mereka untuk lebih berhati-hati,” katanya.

Najis gajah turut digunakan untuk masalah hidung berdarah, sakit kepala dan sakit gigi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI