fbpx

Buruh ditahan miliki 157 butir peluru hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat (tiga dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas di IPK Kelantan.

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Seorang buruh bakal berdepan hukuman mati mandatori selepas ditahan polis ekoran menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah jenis ganja seberat 56 kilogram di sekitar negeri ini dalam dua serbuan berasingan di Kampung Bukit Lata dekat Pasir Mas Khamis lalu.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 dalam Ops Benteng di kawasan tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komiosioner Shafien Mamat berkata, dalam serbuan pada pukul 4.30 pagi itu, anggota PGA telah melakukan pemeriksaan di dalam rumah tersebut.

Katanya, semasa pemeriksaan dijalankan, anggota itu menemui dadah jenis Kodein sebanyak 550 mililiter, satu bungkusan daun kering dipercayai ganja sebanyak 110 gram dan 55 biji erimin-5 seberat 11 gram bernilai RM1,950.

“Selain itu, kita juga menemui sebanyak 157 butir peluru hidup yang disimpan dalam botol berwarna putih.

“Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk disoal siasat. Selepas lebih 12 jam sesi soal siasat, suspek memaklumkan bahawa terdapat dadah jenis ganja yang disimpan di rumah keluarganya di kampung sama,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Katanya, berpandukan arah daripada suspek, polis telah bergegas ke rumah tersebut kira-kira pukul 5 petang hari yang sama.

“Serbuan di rumah itu membawa kepada penemuan sebanyak 56 kilogram ketulan mampat dipercayai ganja yang disimpan di dalam bonet sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Nilai pasaran semasa dadah tersebut dianggarkan bernilai RM112,000. Selain diedarkan di negeri ini, dadah tersebut juga dipercayai diedarkan di Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, polis menyita kereta jenis Proton Wira dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Katanya, bekalan dadah itu dipercayai dibeli daripada pembekal dari negara jiran.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Selain itu, suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah iaitu dua berkait kes dadah dan satu kes jenayah,” katanya.

Tambah Shafien, lelaki itu ditahan reman selama lima hari bermula kelmarin sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI