PETALING JAYA – Insiden serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor kelmarin yang mengorbankan dua anggota polis walaupun tidak didalangi oleh mana-mana kumpulan, tetap memberi ancaman kepada keselamatan negara.
Penganalisis jenayah dan Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, suspek yang bergerak solo atau lone wolf lebih berbahaya daripada serangan menerusi kumpulan.
“Suspek lone wolf ini lagi bahaya kerana pihak berkuasa agak sukar untuk membaca pergerakannya berbanding kumpulan tertentu yang kebiasaannya pergerakan atau motif serangan mudah dikesan pihak berkuasa.
“Kalau sendirian ini agak sukar kerana pihak berkuasa tidak tahu siapa dia (latar belakang) dan apa tujuan dia berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Shahul Hamid berkata, walaupun suspek dipercayai bertindak sendirian, tetapi beliau yakin bahawa wujud dalang disebalik kejadian itu.
“Memang dia bertindak sendirian, tetapi pasti ada ‘orang’ yang membuatkan suspek bertindak seberani itu. Mungkin juga dia dari serpihan kumpulan tertentu yang cuba menghidupkan sendiri idealisme kumpulan terbabit.
“Banyak kemungkinan boleh dikaitkan, apapun biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu,” jelasnya.
Justeru, Shahul Hamid berharap agar pihak berkuasa dapat meningkatkan keselamatan di balai-balai polis bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
“Suspek jenis lone wolf ini sukar kita ramal tindakan, pergerakannya. Mungkin selepas ini ada lagi suspek-suspek seperti ini yang akan bertindak sedemikian, jadi sentiasalah berwaspada dan berjaga-jaga,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati selepas ini kerana dipercayai kumpulan-kumpulan pengganas masih berakar umbi di negara ini.














