Kali terakhir penulis menggunakan pengangkutan awam adalah ketika latihan amali pada tahun 2001.
Ketika itu ulang-alik ke pejabat Utusan Melayu Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur ke Pantai Dalam menggunakan bas. Dua kali juga kena tukar bas ketika itu di Plaza Kotaraya.
Selepas dua tahun bekerja di sebuah syarikat swasta pada tahun 2004, penulis membeli sebuah kereta untuk menyenangkan ke tempat kerja sebagai pengangkutan utama.
Kini selepas 20 tahun bekerja terdetik dalam hati untuk menggunakan pengangkutan awam iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) pula kerana kesesakan teruk laluan pergi balik kerja setiap hari.
Setiap hari balik kerja ‘mental koyak’ kerana satu jam setengah masa terbuang digunakan untuk bersesak-sedak jalan sesak.
Ketika sampai di rumah penulis hanya ada satu jam untuk menguruskan segala-galanya hal-hal di rumah seperti hantar anak mengaji al-Quran, membasuh baju, jemur kain, gosok baju sekolah dan sebagainya sebelum anak perlu tidur pada pukul 10 malam.
Setiap hari keadaan sebegitu memang mental koyak dan penat, disebabkan itu penulis mencuba sekali lagi naik pengangkutan awam, LRT selepas sekian lama memandu sendiri.
Selepas misi menggunakan pengangkutan awam pada Ramadan lalu berjaya, keadaan menjadi lebih selesa kerana tiada lagi perlu menghadap kesesakan teruk di Lebuh Raya Persekutuan setiap hari.
Ada mencabarnya juga ketika menggunakan LRT, apabila terpaksa berebut tempat letak kenderaan kerana kawasan yang disediakan adalah terhad. Ketika itu doa makan jadi peneman.
Menariknya naik LRT kita sebagai rakyat Malaysia dapat menikmati penjimatan tambang RM50 sahaja untuk sebulan.
Itu bermakna kita boleh menggunakan perkhidmatan itu berulang kali tanpa had. Memang menjimatkan.
Seronoknya lagi naik LRT adalah kesesakan jalan raya apabila cuaca tidak menentu pada waktu puncak seperti banjir kilat dan hujan lebat, kita akan dapat sampai ke destinasi dalam tempat masa yang sama.
Jika memandu sendiri dalam kesesakan biasa satu jam setengah akan jadi lebih parah sampai dua jam.
Itulah mental koyak yang dihadapi oleh sebahagian besar warga kota yang memandu sendiri ke tempat kerja.
Hari-hari mengadap kesesakan dengan cuaca yang tidak menentu boleh jadi sakit jiwa. Sekarang naik LRT hanya 50 minit bagi perjalanan 15 stesen.
Terima kasih kepada kerajaan yang telah meluluskan pembinaan LRT sehingga dapat digunakan oleh lebih sejuta warga kota setiap hari. Tidak dapat bayangkan kalau Kuala Lumpur tiada LRT.
















