fbpx

K2

Menjinakkan toman di Tasik Sepayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAKIMI pernah menjinakkan toman seberat 14 kilogram di Tasik Sepayang.

 

 

SUASANA pagi di Tasik Sepayang yang terletak di Rompin, Pahang pada pagi itu tenang sekali.

Sebaik tiba di tasik itu tanpa membuang masa Mohd. Hakimi Abdullah, 36, menghidupkan enjin bot miliknya dan bergerak menuju ke kawasan tengah tasik.

Tujuan Hakimi ke situ pada pagi itu hanya satu, untuk memburu ikan toman yang menjadi penghuni tetap tasik tersebut.

Setibanya ke kawasan yang sering menjadi port kegemarannya, tanpa melengahkan masa dia terus membaling joran ‘bertuahnya’.

“Tasik Sepayang memang habitat toman dan pelbagai spesies ikan air tawar lain tetapi kebanyakan pemancing yang datang ke sini tujuannya hanya satu, untuk memburu toman yang boleh dikatakan sebagai raja di sini.

“Untuk memancing toman, kebiasaannya saya menggunakan umpan tiruan. Antara umpan yang sering digunakan adalah katak tiruan,” katanya.

Tambahnya, bagi memancing toman, teknik casting digunakan. Casting merupakan antara salah satu teknik dalam memancing.

Melalui teknik ini, pemancing akan melontar dan mengarau umpan berulang kali. Pergerakan itu akan menarik perhatian ikan untuk meragut umpan yang ada pada joran.

Hakimi menjelaskan, dia pernah berjaya membawa naik toman seberat 14 kilogram (kg) dari dasar tasik tersebut sebelum ini.

“Pada ketika itu, untuk menjinakkannya, saya perlu bertarung selama 10 minit sebelum berjaya dibawa naik ke darat.

“Permainan untuk menjinak toman bukan sesuatu yang mudah kerana ikan ini selalu berada di lokasi tertentu yang agak sukar untuk dijangkau,” katanya.

Oleh itu, pemilihan joran yang sesuai amat penting sekiranya ingin menjinakkan toman.

 

TASIK Sepayang yang terletak di Rompin, Pahang sering menjadi lokasi tumpuan kaki pancing.

 

Ikan air tawar

Ikan toman atau nama saintifiknya Channa micropeltes tergolong dalam keluarga ikan air tawar yang habitatnya banyak terdapat di negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Selain itu, toman juga lebih dikenali sebagai snakehead dan ia adalah ikan pemangsa air tawar yang terkenal dengan aksi ganas.

Ikan toman juga mempunyai corak seakan-akan batik pada bahagian badannya. Buat kaki pancing, Tasik Sepayang bukanlah satu destinasi asing buat mereka yang memburu ikan air tawar.

Selain toman, spesies ikan air tawar lain yang ada di tasik itu termasuklah sebarau, haruan, belida dan kelisa yang menjadi kegilaan kaki pancing yang gemar menggunakan teknik casting.

Dalam pada itu, Hakimi bercerita, untuk memancing toman di tasik tersebut, ia mempunyai cabaran tersendiri.

“Susah sebenarnya menjinakkan toman di tasik ini kerana keadaan dalam tasik penuh dengan kayu mati.

“Jika ikan membawa lari umpan ke bahagian yang penuh dengan kayu-kayu mati, ia sedikit sebanyak memberi kesukaran buat pemancing dan menguji kesabaran untuk menjinakkannya,” tegasnya.

 

PELANCONG dari Jepun juga turut tidak melepaskan peluang untuk memancing di Tasik Sepayang.

 

Tambahnya, jika diperhatikan betul-betul, ikan toman ada di setiap inci tasik ini dan pemancing boleh melihat ibu toman berenang dengan anak-anaknya.

Pada waktu itulah, jelasnya, umpan yang ada pada joran sesuai untuk dilontarkan bagi menarik perhatian spesies itu.

Dalam pada itu, sekiranya pemancing menggunakan teknik yang betul, proses untuk menjinakkan ikan toman bukanlah sesuatu yang sukar.

Kebanyakan pemancing yang memancing toman di tasik itu akan melepaskan kembali ikan tersebut.

Mereka selalunya hanya ingin merasai keseronokan bertarung dengan pemangsa ikan air tawar itu.

Hakimi turut menjelaskan, Tasik Sepayang bulan sahaja menjadi tumpuan pemancing tempatan, malah turut menarik perhatian kaki pancing dari luar negara.

Setiap hujung minggu, tasik tersebut akan dipenuhi dengan kaki pancing dan dia sendiri turut menawarkan pakej menyewa bot di situ.

“Saya pernah membawa pelancong asing dari Jepun, Australia dan Jerman yang datang untuk memancing di tasik ini.

“Harga untuk menyewa bot adalah pada kadar RM350 bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI