Oleh IVAN AMIRUL
KINABATANGAN – Luluh hati seorang bapa apabila dia hanya mampu melihat tubuh anaknya disambar sebelum dibaham seekor buaya ketika dua beranak itu berada di tepi Sungai Kinabatangan, berhampiran Kampung Mubibbah Hujung di sini kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia lapan tahun, Asmin Abdullah sedang mandi di sungai berkenaan, manakala bapanya pula menurunkan perahu di kawasan yang sama.
Beberapa saat kemudian, bapa mangsa dikenali sebagai Abdullah dikatakan terdengar bunyi bising sebelum berpaling dan melihat tubuh anaknya dibaham seekor buaya.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kapten Ahmad Roslan Mohd. Kamel berkata, bapa mangsa ada memaklumkan bahawa kanakkanak itu berada di bahagian belakangnya ketika kejadian dan dia ada terdengar bunyi kocakan air.
“Selepas berpaling, bapa mangsa terkejut melihat anaknya yang sedang mandi disambar seekor buaya sebelum hilang ditarik ke dalam sungai.
“Bapa kanak-kanak itu cuba menyelamatkan anaknya, namun gagal,” kata Ahmad Roslan dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah beliau, sejam kemudian, bapa mangsa ada melihat tubuh anaknya itu di permukaan air dan berada dalam gigitan reptilia berkenaan.
“Penduduk yang berada di lokasi sama cuba mengambil dan mendekati buaya berkenaan, tetapi reptilia itu menarik semula mangsa ke dalam air,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Roslan berkata, seramai 35 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Jelasnya, lima buah bot termasuk dua bot milik orang kampung digunakan dalam operasi mencari yang memasuki hari kedua semalam.
“Kita turut mendapat bantuan bot daripada JHL dan Sawit Sabah agar pencarian dapat diperluaskan.
“Setakat ini, belum ada petanda yang ditemui mengenai kedudukan mangsa dan operasi akan diteruskan di kawasan berhampiran,” katanya.
















