fbpx

Jemaah Surau Al-Jannah bebas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Surau Al-Jannah, Seksyen 23, Shah Alam bakal beroperasi semula hari ini.

SHAH ALAM – Seorang jemaah yang dikesan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga di Seksyen 23 di sini dilaporkan negatif.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, keputusan tersebut hasil ujian saringan kedua yang dilakukan lelaki tersebut pada hari ini.

“Kita turut melakukan saringan terhadap enam lagi ahli keluarganya termasuk isteri dengan hasil keputusan juga negatif.

“Ujian saringan yang kedua telah mencukupi untuk mengesahkan mereka bebas daripada Covid-19 dan tidak perlu lakukan ujian saringan ketiga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini diarahkan tutup serta-merta susulan salah seorang jemaahnya dikesan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 berkaitan Kluster Sivagangga di Napoh, Jitra, Kedah.

Susulan itu, semua operasi surau termasuk solat Jumaat, solat fardu lima waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan di surau ini diarah dihentikan juga.

Arahan penutupan juga dilaksanakan terhadap Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Al-Jannah.

Mengulas lanjut, Datuk Dr. Sha’ari menegaskan, surau tersebut tidak perlu menjalani proses nyah cemar berikutan jemaah terbabit dilaporkan negatif.

“Namun kita tidak menghalang sekiranya ada pihak mahu berbuat demikian,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan pihaknya telah melakukan proses nyah cemar di bangunan surau itu Ahad lalu dan akan dibuka dalam masa terdekat susulan keputusan ujian tersebut.

Ketika ditanya sama ada akan diadakan Solat Jumaat hari ini, beliau menjawab “InsyaAllah,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI