fbpx

Jangan hanya buat kenyataan dalam akhbar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi Md. Nor

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) mengalu-alukan hasrat pengasas syarikat D’Herbs Holdings (M) Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tampil untuk membeli atau menaja pasukan Helang Merah.

Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya terbuka kepada apa juga cadangan untuk dipertimbangkan.

“Kalau benar beliau berminat, harap dapat berbincang atau bertemu dengan KFA.

“Kami alu-alukan kedatangan beliau atau mana-mana jutawan untuk berbincang kerana perkara ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya kenyataan dalam akhbar,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar semalam.

Semalam dilaporkan, pengasas syarikat kosmetik terkenal itu berminat untuk membeli pasukan Kedah sekali gus menjadi pemilik Helang Merah mengikut syarat penswastaan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada tahun 2016, Aliff pernah dikaitkan untuk menaja pasukan Kedah, namun perbincangan antara kedua-dua belah pihak menemui jalan buntu.

Sanusi juga memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan sebuah syarikat koperasi yang menyatakan cadangan untuk mengambil alih KFA.

“Saya fikir cadangan dikemukakan itu agak baik dan apabila Kedah FC ditubuhkan nanti, ia dijalankan secara pemilikan bersama.

“Melalui sistem itu, sumbangan keahlian koperasi dan dana terkumpul sebahagiannya akan digunakan untuk menguruskan pasukan mengikut syarat ditetapkan,” ujarnya.

“Kami menerima banyak cadangan dan bersedia pertimbangkan semuanya. Dalam masa sama, kami masih alu-alukan mana-mana pihak untuk tampil membawa kertas cada­ngan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI