Hampir dua tahun diperam, Teh Terakhirku ciptaan Mark Adam dan Shuib sempurna dengan gabungan vokal bersama Zynakal.
Siapa sangka, hanya kerana secangkir teh yang tidak sempat dihirup sewaktu menunaikan umrah dua tahun lalu, emosi tersebut mencetuskan inspirasi buat Mark Adam dan Shuib Sepahtu untuk membentuk sebuah karya penuh istimewa bertajuk Teh Terakhirku.

Menurut Shuib, idea untuk mencipta lagu tersebut timbul sewaktu dia dan Mark sama-sama menunaikan ibadah umrah pada tahun 2018. Lebih tepat lagi, aroma teh tarik yang dihirupnya sebelum melakukan tawaf selamat tinggal benar-benar melekat dalam kepala sehingga tercetusnya sebuah melodi tersebut.
Melodi dalam benak suami kepada Siti Sarah Raisudin itu diusulkan kepada Mark yang kemudiannya terus menggubahnya menjadi sebuah lagu lengkap.
“Dua tahun kami peram lagu ini kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Lagi pun pada waktu itu, ada lapan bar yang tidak diisi dalam lirik kerana kami belum jumpa suara yang diinginkan untuk melengkapkan lagu itu.
“Tahun ini, apabila pihak Indigital mencadangkan Zynakal untuk mengisi ruang kosong tersebut, ternyata ia satu keputusan tepat. Zynakal telah menyempurnakan Teh Terakhirku,” kata Shuib usai pelancaran single Teh Terakhirku di The Strand Mall, Kota Damansara, baru-baru ini.

Berbakat
Sementara itu, Mark pula menyifatkan Teh Terakhirku sebagai sebuah karya yang sangat istimewa buat dirinya memandangkan itulah secebis kenangan sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah.
Menganggap kolaborasi bersama Shuib sebagai sesuatu yang berbeza, Mark memberitahu, sahabat baiknya itu sangat berbakat biarpun bukan bergelar penyanyi profesional.
“Saya tahu mungkin ramai mempertikaikan kenapa Shuib turut menyanyi dalam lagu ini. Hakikatnya, melodi ini datang daripada dia dan Shuib boleh menyanyi dengan baik.
“Bukan hendak memuji kawan sendiri tetapi nada suara Shuib okey, cuma dia bukan penyanyi profesional, itu sahaja,” jelas Mark.
Bercakap tentang kemasukan Zynakal sebagai ‘trio’ Teh Terakhirku, pemilik Suara Akademi itu berasa beruntung dapat bekerjasama dengan anak muda yang mempunyai keistimewaan tersendiri itu.
“Zynakal memang bagus. Dia masuk studio tidak sampai setengah jam, bahagian lompong selama dua tahun itu sudah disiapkan dan kami terus buat rakaman penuh,” ujar Mark.

Peluang
Bagi Zynakal sendiri, peluang bekerjasama dengan Mark dan Shuib menerusi lagu berkenaan mengimbas semula kenangan dia mengerjakan umrah hujung tahun lalu.
Mengambil inspirasi pengalaman sendiri sewaktu menatap Kaabah, jejaka bernama Muhammad Raziq Rosli itu hanya memerlukan masa 10 minit menyudahkan barisan lirik yang tidak lengkap dalam Teh Terakhirku.
“Lirik yang saya tulis berdasarkan apa yang saya rasa ketika berada di Tanah Suci iaitu ketenangan dan keinsafan yang mendalam.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada Shuib dan Mark kerana memberikan kepercayaan kepada budak baharu seperti saya untuk menyanyi bersama mereka,” tuturnya.
Umum mengetahui, penyanyi lagu Terbang itu juga pernah mengalami episod hitam sekitar bulan September tahun lalu apabila disahkan mengalami masalah bipolar mania dan depresi sehingga pernah ditahan pihak polis.

Kata Zynakal, dia kini dalam fasa pemulihan dan semakin stabil pengambilan ubat-ubatan mengikut nasihat doktor.
“Saya belum pulih sepenuhnya, tetapi keadaan saya jauh lebih baik berbanding sewaktu mula dirawat di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu.
“Kini, saya mahu fokus terhadap kerjaya dan buat sebanyak mungkin lagu untuk peminat.
“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi terbabit dengan sebarang masalah,” katanya.














