fbpx

Usahawan batik Kelantan disaran mohon sijil standard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail menunjukkan kain batik yang mematuhi Pematuhan Standard MS692 Batik Malaysia di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan hari ini

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan menyarankan seramai 250 usahawan batik berdaftar di negeri ini agar memohon Sijil Pematuhan Standard MS692 Batik Malaysia.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nor Azmi Ismail berkata, setakat ini hanya seramai 50 atau 15 peratus daripada 300 usahawan batik di negeri ini mempunyai sijil tersebut sejak 2012.

Menurutnya, sijil itu merupakan salah satu strategi pemasaran namun, masih belum ada halangan untuk usahawan batik berdaftar yang tiada sijil berkenaan untuk memasarkan produk mereka di negara ini.

“Usahawan yang ingin memohon sijil itu perlu menepati kriteria yang ditetapkan. Mereka perlu menitik beratkan kepada kualiti keluaran produk batik Malaysia seperti mutu produk yang akan disahkan lulus setelah melalui beberapa ujian di makmal.

“Sijil tersebut juga hanya sah bagi tempoh selama dua tahun dan usahawan perlu menghantar semula sampel batik yang baharu untuk menjalani ujian kualiti selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan dua usahawan inkubator kraf iaitu Supernova Design dan AS Vaganza Trading bersama Kraftangan Malaysia di Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Nor Azmi, terdapat usahawan dari Kelantan yang mempunyai sijil itu kini sudah memiliki premis sendiri termasuk di ibu negara.

“Usahawan berdaftar di negeri ini yang mempunyai Sijil Pematuhan Standard MS692 Batik Malaysia antaranya Alwi Batik, Mas Kamal Batik, Gaya Warisan dan Bujins Batik kini telah beroperasi di Kuala Lumpur.

“Di peringkat Kraftangan Malaysia, sudah tentu usahawan yang memiliki sijil tersebut akan diberi keutamaan untuk menyertai program kita. Justeru, Kita berharap lebih ramai usahawan batik yang akan memperoleh sijil tersebut selepas ini,” katanya.

Tambahnya, Program Pematuhan Standard masih dibuka kepada semua usahawan yang menghasilkan produk batik dengan menghantar sampel keluaran mereka untuk ujian di makmal Standard Batik Malaysia.

“Permohonan untuk mendapatkan Sijil Pematuhan Standard MS692 Batik Malaysia dibuka sepanjang tahun,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI