fbpx

Pelajar tangkap penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Tindakan nekad seorang pelajar lelaki menendang motosikal dinaiki dua lelaki membuahkan hasil dengan seorang daripadanya ditangkap selepas menyamun dirinya dalam kejadian di gelanggang bola keranjang Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang di sini petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang sewaktu pelajar tersebut sedang bermain bola keranjang bersama rakannya di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa berusia 18 tahun telah didekati oleh dua suspek dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

Katanya, salah seorang suspek yang merupakan pembonceng motosikal kemudiannya turun dan merampas telefon bimbit mangsa.

“Suspek juga bertindak menumbuk mangsa di bahagian perut sebelum cuba melarikan diri bersama rakannya menggunakan motosikal.

“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya telah bertindak menendang motosikal itu sehingga terbalik dan menahan seorang suspek iaitu penunggang motosikal berusia 30 tahun dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau menambah, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan akibat kejadian tersebut mangsa telah mengalami kerugian RM500.

Justeru, Shamsul Amar menegaskan usaha mengesan seorang lagi suspek dikenali Arul sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI