fbpx
NEELOFA

Neelofa fokus kendiri, tenang isu jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN Neelofa baik dalam soal kerjaya mahupun perniagaan tinggi melangit, namun satu persatu mimpinya direalisasikan. Tinggal lagi, ada satu perkara lain yang menjadi buruan lensa kamera dan bibir netizen ialah siapa lelaki yang sedang atau bakal menambat jiwa besarnya.

Mengenali figura seorang ini, dia sememangnya berhati kental. Datanglah taufan kontroversi sekuat mana pun, dia mampu mendepaninya secara harmoni. Satu dasawarsa bergelumang sepak terajang industri seni, dari zaman sebelum bertudung litup sehinggalah sekarang, dia menjadi epitome wanita muslim bertudung yang memercik inspirasi. Dialah Neelofa.

Neelofa atau nama lengkapnya, Noor Neelofa Mohd. Noor dilihat sebagai wanita yang cukup berdikari. Hidupnya mandiri sehingga ada segelintir pihak berpendapat dia tidak perlu untuk berdamping dengan mana-mana lelaki demi menemui jalan bahagia sepertimana individu normal lain.

Urusan jodohnya sering menjadi polemik dalam kalangan orang ramai. Masakan tidak, anak seni yang pernah menggenggam trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2016 ini bukan sahaja seorang jelitawan, dia juga dikurniakan Ilahi harta secukup-cukupnya dan pernah digosipkan menjalin cinta dengan beberapa jejaka.

Justeru, siapakah gerangan lelaki yang sedang bertakhta di hatinya, itu masih menjadi persoalan terbesar yang bermain dalam minda ramai.

 

SELAGI belum sah dimiliki mana-mana lelaki, selagi itulah Neelofa mahu terus bertenang mendepani sebarang asakan khalayak tentang siapakah penakluk hatinya. – Foto IHSAN NEELOFA

 

Lelaki

“Saya gembira dan bersyukur walau di mana saya bertapak kini tetapi apabila sudah sampai waktunya nanti, soal itu akan terjadi dan saya akan bersedia mendepaninya (jodoh).

“Sentiasalah percaya dengan perancangan-Nya. Apa dan siapa yang ditakdirkan menjadi milik saya, akan jadi milik saya,” kata Neelofa, 31, melalui satu hantaran status Instagramnya baru-baru ini.

Masih ditiup angin gosip bercinta dengan Hans Isaac, tiada angin tiada ribut, wanita yang bakat seninya mula dicungkil menerusi program realiti Dewi Remaja itu dikaitkan pula dengan lelaki bernama Harris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Harris.

Tenang menepis dakwaan terbabit, kata Neelofa, dia dan Harris banyak menjalin kerjasama disebabkan projek kebajikan perdananya iaitu Pertubuhan Kasih Neelofa.

“Saya selesa bekerja dengan Harris. Lebih baik untuk mempunyai seseorang seperti Harris dalam projek kebajikan yang saya usahakan.

“Bagi saya, Harris seorang yang bijak, punya asas agama yang kuat dan boleh menarik orang atas urusan dakwah. Saya mahu dia menjadi orang yang boleh bertindak sebagai jurucakap pertubuhan yang saya kendalikan,” ungkapnya.

 

Jika tiada aral melintang, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, Neelofa melihat dirinya sebagai seorang isteri.

 

Perkahwinan

Ditebak pertanyaan sama ada benar atau sebaliknya dia sedang merancang ke arah perkahwinan sekali gus bergelar seorang isteri, Neelofa sedikit terkejut apabila soalan tersebut diajukan, namun tetap bertenang membutirkan jawapan.

“Banyak sangat versi cerita urusan jodoh saya. Beginilah, saya tidak akan berkongsi hal ini selagi tiada apa-apa terjadi dalam hidup saya. Saya akan kongsi andai perkara baik ini berlaku.

“Saya tidak akan kongsi sekiranya tiada calon atau perkara ini belum jadi rasmi. Macam baru-baru ini, apabila episod pertama Next To Neelofa bersiaran dan tetamunya Hans (Datuk Hans Isaac), ramai yang bercakap seolah-olah mereka tahu cerita sebenar antara saya dan dia.

“Ada juga cerita keluar kononnya saya sudah bertunang dengan Zizan. Apa yang boleh saya kongsikan sekarang hanyalah doa-doa yang baik agar urusan jodoh mendekat ke arah saya. Insya-Allah,” tutur Neelofa penuh hemah.

Melanjutkan bicara, sebagai wanita berkarier dan berjaya, alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi itu meluahkan, banyak lagi perkara yang ingin dicapainya sebelum mengakhiri status bujang.

“Pada usia sekarang, memang orang akan selalu bertanya soal jodoh. Insya-Allah, saya melihat diri sebagai seorang isteri kalau tiada aral melintang dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.

“Disebabkan Covid-19, banyak hal tergendala. Saya sepatutnya selesaikan hal berkaitan sewaan hartanah di Paris, Perancis dan Jakarta, Indonesia namun perancangan itu berubah,” ungkap Neelofa seraya menyatakan dirinya gembira dengan statusnya sebagai wanita solo.

 

“TIDAK salah untuk bermimpi besar”. Ungkapan itu menjadi pegangan Neelofa untuk melestarikan setiap impiannya.

 

Air mata

Saat artikel ini dicatatkan, program bual bicara kendaliannya, Next To Neelofa sudah memasuki episod ketiga. Neelofa memberitahu dia mempunyai visi yang besar untuk program tersebut.
“It’s okay to dream big (okey untuk bermimpi besar),” katanya tentang hasrat untuk terus menjemput nama-nama besar sebagai tetamu berikutnya untuk program terbitan Astro Ria itu.

“Kalau bukan sebab pandemik Covid-19, kita akan pergi lagi jauh.

“Kalau ikut perancangan awal sebelum Covid-19 diumumkan sebagai pandemik satu dunia, kita sudah ada nama besar dari Indonesia, seperti Syahrini dan Krisdayanti dalam rancangan ini.

“Bukan itu sahaja, saya juga sudah bercakap dengan mereka yang terlibat dalam industri fesyen muslim antarabangsa juga seperti Halima dan Giuseppe Zanotti untuk menjadi tetamu.

“Insya-Allah, mungkin ada rezeki untuk musim selanjutnya andai keadaan dunia sudah stabil dan bebas daripada pandemik,” kata bekas pengacara program MeleTOP itu.

Program Next To Neelofa sebanyak 12 episod bersiaran sejak 23 Julai lalu setiap Khamis pukul 9 malam secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria HD dan Astro Ria.

“Setakat ini, sudah episod dirakamkan. Antara nama yang boleh saya kongsikan menjadi tetamu ialah seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ella.

“Banyak perkongsian menarik dan berguna daripada mereka yang tidak pernah dikongsikan kepada umum. Ada juga yang mengalirkan air mata ketika berkongsi cerita.

“Akan ada juga episod figura-figura hebat lain menjadi tetamu seperti anak bilionair, Tan Sri Vincent Tan iaitu Chryseis Tan, ikon badminton ulung tanah air, Datuk Lee Chong Wei dan beberapa nama hebat lain,” dedah Neelofa menggulung perbualan.

SEBELUM mengakhiri zaman bujang, banyak lagi impian yang ingin digapai Neelofa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN