KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua buah kapal tangki diperairan negara selepas gagal mengemukakan dokumen polisi insurans.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal berkenaan ditahan di perairan Johor Timur kira-kira pukul 10.10 pagi, semalam.
Jelasnya, penahanan itu dilakukan selepas kapal ronda APMM mengesan kedua-dua kapal tangki tersebut sedang merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal tangki itu dikendalikan oleh semua lelaki warga Indonesia.
“Sebuah kapal dikendalikan enam lelaki berumur antara 24 hingga 47 tahun, manakala sebuah lagi dikendalikan oleh lapan lelaki berumur lingkungan 30 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas dokumentasi mendapati kedua dua kapal terbabit didaftarkan di Malabo, Equatorial Guinea, namun gagal mengemukakan polisi insurans.
Mohd. Zulfadli berkata, kedua dua kapal telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 361(1) dan Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 Seksyen 338A (3) kerana tiada dokumen berkaitan polisi Insurans maritim serta Seksyen 491B(1)(l) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa pemakluman Pengarah Laut.
Kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM500,000 bagi setiap kesalahan di bawah Seksyen 338A(3) dan Seksyen 361(1) OPPS 1952 serta denda tidak kurang RM20,000 dengan tidak lebih RM100,000 bagi Seksyen 491B(L) OPS 1952.
”Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor Timur.
“Justeru, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti,”katanya lagi. – K! ONLINE














