fbpx

1,500 penduduk Napoh belum buat saringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Kampung Natoi yang terlibat PKPD secara pentadbiran susulan Covid-19 bagi Kluster PUI Sivagangga menerima bantuan bekalan makanan daripada kerajaan negeri Kedah hari ini. Foto SHAHIR NOORDIN

JITRA – Kerajaan negeri mendedahkan hanya separuh daripada penduduk sekitar pekan Napoh hadir membuat saringan Covid-19 bagi Kluster PUI Sivagangga di Klinik Kesihatan Napoh dekat sini sejak 29 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah memberitahu, dianggarkan seramai 1,500 penduduk di situ belum membuat saringan.

“Saya meminta semua penduduk yang belum membuat saringan agar hadir ke klinik kesihatan dengan segera bagi mengelakkan lebih ramai dijangkiti wabak ini tanpa sedar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada 58 ketua keluarga di Kampung Natoi, Napoh susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, 98 peratus penduduk di Kampung Bendang Dalam yang terletak berhampiran pekan Napoh didapati telah melakukan saringan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada penduduk yang telah membuat saringan kerana kesedaran itu adalah tanggungjawab bersama demi keselamatan semua,” ujarnya.

Halimaton berkata, penyaluran bekalan keperluan termasuk makanan juga akan diberikan kepada penduduk terjejas terutama mereka yang diarah menjalani kuarantin.

“Dalam fasa pertama ini, agihan bekalan makanan akan dibuat kepada 1,164 ketua keluarga di kawasan terjejas di daerah Kubang Pasu manakala bantuan untuk penduduk di daerah Padang Terap akan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Tambahnya, bantuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula akan disalurkan pada minggu hadapan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI