fbpx

K2

Mainan animasi 80-an aset bernilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZWAN menunjukkan sebahagian daripada koleksi vintaj figura dan robot animasi yang dimiliki Azwan di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KETIKA orang lain memilih untuk melabur wang simpanan mereka bagi membeli aset bernilai seperti rumah dan tanah, Azwan Abdul Karim bertindak sebaliknya. Lelaki berusia 43 tahun itu lebih ghairah menghabiskan wang simpanan dengan membeli barang-barang mainan vintaj yang diperbuat daripada plastik.

Di mata Azwan, barang mainan tersebut bukan sekadar permainan kanak-kanak, malah lebih bernilai berbanding aset-aset lain. Justeru, tidak hairanlah dia sanggup berhabis untuk mengumpul lebih 2,000 barangan yang terdiri daripada koleksi mainan siri animasi popular sekitar tahun 80-an.

Antaranya ialah Thundercats, Teenage Mutant Ninja Turtles, Transformers, Ultraman, The Real Ghostbusters, Starcom dan MASK. Azwan mengumpul figura-figura animasi itu sejak tahun 2007.

“Saya kumpul barang mainan ini sebagai aset peribadi. Saya tidak beli tanah, rumah atau lukisan untuk dijadikan aset seperti orang lain di luar sana.

“Sebenarnya, ramai tidak tahu betapa bernilai koleksi animasi ini dalam pasaran. Harga barang ini lagi lama, lagi mahal kerana sudah tidak dikeluarkan dan bilangannya terhad,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan itu mula aktif mengumpul koleksi animasi selepas filem Transformers the Movie ditayangkan di pawagam pada tahun 2007.

Dia terpanggil untuk mengumpul koleksi Transfomers selepas melihat ada syarikat-syarikat yang mengeluarkan kembali koleksi mainan animasi berkenaan sempena tayangan filemnya.

Selepas beberapa tahun, Azwan mula meluaskan koleksinya dengan mengumpul mainan animasi lain yang diperoleh menerusi pembelian secara online.

“Saya minat kartun dari kecil lagi, tapi mula mengumpulnya selepas mula bekerja kerana baru ada duit. Saya bermula dengan koleksi Transfomers Masterpiece.

“Kemudian, minat saya beralih kepada koleksi mainan siri animasi lain yang pernah menjadi kegemaran ketika kecil,” ujarnya.

 

SEBAHAGIAN koleksi Transformers yang dimiliki Azwan.

 

Tidak semua mainan koleksi animasi popular berada dalam simpanan Azwan. Sebaliknya, dia mengehadkan kepada watak dan kenderaan animasi yang boleh diubah suai kerana lebih menguji minda.

Kejayaan

Mengagumkan kepakaran pengubahsuaian Graduan Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka-Teknologi dan Seni Halus (Arca) itu turut berjaya menambat perhatian juri antarabangsa apabila berjaya menjuarai pertandingan Triple Threat Challenge pada tahun 2009.

Azwan berjaya memenangi pertandingan reka cipta khas Transformers yang dianjurkan di Amerika Syarikat itu menerusi penciptaan Masterpiece Astrotrain.

Kerja-kerja pengubahsuaiannya tidak terhad untuk koleksi sendiri sahaja, malah mendapat tempahan penggemar dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

Jelas Azwan, koleksi mainan animasi yang dimilikinya itu menjadi inspirasi untuk diterjemahkan dalam setiap pembelajaran bersama pelajar di bilik kuliah.

“Saya sudah besar, saya tidak main lagi permainan ini. Sebaliknya, saya kumpul untuk memerhati sambil menghargai setiap rekaan yang diketengahkan oleh pihak pengeluar.

“Setiap rekaan watak dan kenderaan animasi ini mempunyai keunikannya tersendiri. Lagi pula mainan-mainan lama ini dibuat dengan cukup teliti. Mainan ini berbeza dengan mainan zaman sekarang,” katanya.

 

AZWAN menunjukkan kepakarannya dalam mengubah suai mainan animasi.

 

 

Antara koleksi rare dalam simpanan bapa kepada lima cahaya mata itu adalah watak dan kenderaan animasi popular MASK serta Starcom.

Figura-figura dan kenderaan animasi itu sudah tidak dikeluarkan lagi oleh kilang dan bilangannya terhad, sekali gus menjadikannya sangat bernilai.

“Saya sepatutnya menyasarkan untuk membuat rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai pengumpul watak dan kenderaan animasi MASK serta Starcom terbanyak di negara ini iaitu sebanyak 260 koleksi.

“Dijangkakan rekod itu dibuat pada September, namun disebabkan Covid-19 perancangan berkenaan tergendala ke tarikh lain yang belum diketahui,” jelasnya.

Koleksi paling bernilai dalam simpanan Azwan adalah prototaip kepala watak utama siri animasi Thundercat, Lion-O yang dianggarkan bernilai RM6,000 serta sut Bumblebee bernilai RM11,000.

Cerita Azwan, cabaran terbesar mengumpul koleksi animasi vintaj adalah untuk memastikan kondisinya berada dalam keadaan baik untuk tempoh yang lama.

Justeru itu, dia perlu menyimpan semua koleksinya dalam tempat tertutup sama ada di dalam almari tertutup atau kotak.

Bilik penyimpanan mainan pula harus mempunyai pengudaraan yang baik dengan kipas dan pendingin hawa perlu dipasang setiap masa.

“Watak dan kenderaan animasi ini kebanyakan diperbuat daripada plastik. Kalau terdedah kepada habuk dan udara panas terlalu lama, ia akan bertukar menjadi kuning.

“Ini akan menyebabkan barang mainan ini menjadi rosak dan tidak mempunyai nilai lagi apabila dijual kembali nanti,” jelasnya.

 

KEPALA watak Lion-O siri Thundercats yang bernilai RM6,000 turut dikumpulnya.

 

Mengulas mengenai minat lelaki kelahiran Jerantut, Pahang itu terhadap siri animasi, dia memaklumkan, ia telah dipupuk sejak usianya sembilan tahun.
Minatnya itu tidak terhad kepada menonton animasi menerusi televisyen, malah dia juga membeli beberapa figura kegemarannya untuk bermain, namun belum dijadikan koleksi.

Dek minat mendalam, Azwan sanggup membuat robot adi wira kegemarannya sendiri menggunakan kotak-kotak kosong pelbagai saiz.

Kotak-kotak tersebut diperoleh secara percuma dari kedai runcit milik neneknya yang terletak di Ladang Sungai Mai, Jerantut.

“Biasalah budak-budak memang minat tengok cerita kartun adi wira popular pada tahun 1980-an. Kalau minat, mestilah kita hendak memiliki patung figura berkenaan untuk bermain..

“Sebab tidak ada duit, saya sanggup mencipta robot menggunakan kotak tanpa mendapat bantuan sesiapa,” kenangnya sambil tersenyum.

Daya kreativiti Azwan tidak terhenti sekadar memenuhi keinginan zaman kanak-kanak tetapi diteruskan sehinggalah meningkat dewasa.

Justeru, tidak hairanlah sehingga kini Azwan masih melakukan kerja-kerja pengubahsuaian figura dan kenderaan animasi.

“Mulanya, saya buat pengubahsuaian watak untuk memulihkan kerosakan.

“Kemudian, saya kongsi kepakaran itu kepada orang ramai di media sosial. Tidak sangka pula tempahan pengubahsuaian figura animasi sangat banyak sehingga tidak menang tangan,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI