fbpx

Kumpulan samun tepi jalan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas daripada enam penyamun yang ditahan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

NOR AZIHAN MD. GHAZALI

KLANG – Polis berjaya melumpuhkan kumpulan samun tepi jalan yang menyasarkan warga asing dengan penangkapan enam lelaki di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 18 hingga 53 tahun itu diberkas pegawai dan anggota polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Katanya, mereka yang ditahan mempunyai kaitan dengan empat suspek yang ditahan sebelum ini kerana terlibat dalam kes samun di sebuah restoran di Taman Aman Perdana.

“Soal siasat mendapati dua daripada enam suspek itu bertindak sebagai pembeli hasil samun.

“Kita turut merampas empat komputer riba, sembilan tablet dan 17 telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, kejayaan itu seterusnya menyelesaikan kes samun yang dilakukan sepanjang tahun 2019 hingga kini di kawasan Klang Utara.

Ujar Nurulhuda, semakan turut mendapati lima daripada enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau seperti samun, pecah rumah dan dadah.

“Keenam-enam suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Terdahulu, polis berjaya memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun seorang pembantu restoran di hadapan tempat kerjanya di Taman Aman Perdana di sini kelmarin.

Kesemua suspek yang berumur antara 18 dan 35 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Klang pukul 1.30 pagi iaitu dalam tempoh kurang 24 jam selepas menyamun. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI