fbpx
Abinan ketika sidang akhbar khas di Istana Negeri hari ini. - Foto: Ihsan Penerangan

Istana Negeri nafi terima 33 Akuan Bersumpah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Yang di-Pertua Negeri Sabah tidak pernah menerima 33 akaun bersumpah (SD) sebelum menandatangani pengisytiharan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Abinan Asli berkata, Istana Negeri menafikan permohonan daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman bagi melakukan perjumpaan bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Pihak istana juga menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57, Datuk Zulkarnain Mahdar yang menjadi tular di media sosial serta kenyataan yang disiarkan di salah sebuah akhbar tempatan Sabah.

“Tindakan berkenaan adalah berbentuk fitnah dan penghinaan ke atas Tun Juhar.

“Selain itu, Istana Negeri juga tidak pernah mengarahkan polis menyekat Musa memasuki kawasan istana.

“Bagaimanapun, sekatan terbabit dibuat oleh pihak polis untuk mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini berlaku.

“Rombongan Musa serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokongnya cuba memasuki ke Istana Negeri secara paksa pada 30 Julai lalu sekitar pukul 3.50 petang tanpa membuat permohonan secara rasmi namun dihalang oleh pihak berkuasa, ” katanya ketika sidang akhbar khas di Istana Negeri hari ini.

Abinan berkata, pihaknya melihat tiada keperluan bagi Musa dan rombongan berjumpa Tun Juhar berikutan DUN sudah dibubarkan pada pagi 30 Julai.

Menurutnya, Tun begitu kesal laporan tidak benar yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengaitkan beliau.

Sementara itu, Abinan yang mewakili Istana Negeri meminta supaya rakyat Sabah bertenang serta tidak mudah mempercayai berita palsu khususnya di laman media sosial selain tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat di Sabah.

Terdahulu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57 membuat laporan berkaitan salah guna kuasa dan salah laku rasuah ke atas Tun Juhar yang menerima imbuhan tertentu untuk membubarkan DUN Sabah. – K! ONLINE

POPULAR