fbpx

Elena akur jalani pembedahan lutut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELENA terpaksa berehat panjang selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut kiri di Hospital Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam

RATU jalan kaki negara, Elena Goh Ling Yin terpaksa berehat daripada sukan olahraga untuk tempoh enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut kiri di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam.

Ini kali kedua Elena, 24, menjalani pembedahan selepas lutut kiri dan kanannya juga pernah dibedah disebabkan kecederaan sama iaitu medial collateral ligament (MCL) pada tahun 2015.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu cuba mengelak daripada pembedahan tetapi akur kerana tidak mampu lagi menahan kesakitan.

“Sebenarnya doktor suruh lakukan pembedahan sebelum Sukan SEA Filipina tahun lepas, namun saya tangguh dahulu ke­rana ketika itu belum kronik dan tidak mengganggu saya berlatih.

“Sekarang sudah mula rasa sakit walaupun cuma jalan di rumah. Selepas saya rujuk dengan doktor, dia beritahu tahap kece­deraan ini semakin teruk.

“Sampai bila saya mahu tahan sakit, lagipun sekarang waktu sesuai kerana tidak ada kejohanan tahun ini disebabkan Co­vid-19. Jadi, saya ambil keputusan untuk jalani pembedahan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Elena akan menjalani proses rehabilitasi di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil selepas dibenarkan keluar hospital dan perlu menggunakan bantuan tongkat bagi tempoh tiga bulan setengah.

Tempoh paling awal Elena kembali berlatih ialah Mac tahun depan sebagai persediaannya memburu pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Kecederaan lutut adalah punca utama Elena sekadar meraih pingat gangsa acara 10 kilometer pada Sukan SEA Manila 2019 apabila tewas kepada dua musuh tradisinya, Pham Thi Tru Trang dari Vietnam dan atlet Myanmar, Than Than Soe. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI