fbpx

Lelaki bakar tiga motor berang dimarahi ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga buah motosikal jenis Yamaha skuter musnah 90 peratus selepas dibakar oleh pemiliknya di Kampung Parit Zin, Bakri, Muar petang tadi.

BAKRI- Berang dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak agresif dengan membakar tiga buah motosikal miliknya di Kampung Parit Zin, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, lelaki terbabit dikatakan berselisih faham dengan ibunya sebelum membakar semua motosikal jenis Yamaha.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Jefri Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.21 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama 17 anggota.

“Sebanyak empat buah jentera dikeluarkan dan sebaik tiba, ketiga-tiga kenderaan itu telah musnah terbakar sehingga 90 peratus. Seorang lelaki yang merupakan pemilik motosikal juga berada di tempat kejadian dan ditahan polis.

“Punca kebakaran dipercayai akibat tindakan pemilik kenderaan itu yang membakar kesemua motosikalnya. Difahamkan, lelaki itu mempunyai masalah mental dan berselisih faham dengan ibunya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd. Jefri berkata, pihak bomba bertindak menyembur pemadam api bagi memastikan tiada sebarang api di kenderaan itu.

“Operasi tamat pada pukul 3.31 petang dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berusia 41 tahun dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran kepada kenderaan.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI