fbpx

Roelant Oltmans letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OLTMANS (baju merah) didakwa menandatangani kontrak bersama SV Kampong menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih negara.

KUALA LUMPUR – Status ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans menimbulkan tanda tanya selepas beliau dilaporkan telah menandatangani kontrak dengan kelab elit Belanda, SV Kampong yang beraksi dalam saingan Hoofdklasse.

Ia selepas skuad juara lapan kali liga hoki Belanda itu memuat naik kenyataan dalam laman web mereka sebentar tadi mengatakan Oltmans, 66, akan menggantikan tempat ketua jurulatih SV Kampong, Alexandar Cox selepas ini.

Lembaga Pengarah SV Kampong, Paul van den Putten dalam kenyataan itu mengakui, gembira dengan pelantikan Oltmans yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pengendali tersebut.

“Kami mempunyai individu sesuai pada waktu yang tepat. Kami memang mencari seorang yang berpengalaman untuk menggantikan tempat Alexander,” katanya yang dipetik daripada kenyataan dalam laman web SV Kampong.

Bukan itu sahaja, Oltmans yang juga pernah mengendalikan skuad antarabangsa Belanda, Pakistan dan India mengakui gembira kerana diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada salah satu persatuan terbesar di Belanda.

“Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua pihak di SV Kampong,” jelas Oltmans menerusi kenyataan dalam laman web tersebut.

Difahamkan, Oltmans telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) baru-baru ini atas faktor tidak mahu berjauhan daripada keluarganya di Belanda dalam situasi penularan wabak pandemik Covid-19 ketika ini.

Kemungkinan besar MHC akan mengesahkan perkara tersebut dalam sidang akhbar khas di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pagi esok.

Sebagai rekod, Oltmans dilantik sebagai ketua jurulatih skuad lelaki negara menggantikan tempat Stephen Van Huizen pada September 2018 dan kontraknya yang bakal berakhir hujung tahun ini dijangka tidak akan dilanjutkan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI