fbpx
Pasukan pemantau IPD Kota Setar melakukan pemantauan pemakaian pelitup muka di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar semalam.

Penduduk Alor Setar patuh pemakaian pelitup muka

  • Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
  • 2 Ogos 2020, 2:19 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pasukan pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mendapati orang ramai mematuhi pemakaian pelitup muka dan tiada kompaun yang dikeluarkan di daerah ini pada semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, tinjauan dilakukan di lokasi awam termasuk pusat beli-belah dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad Alor Setar.

“Orang ramai didapati memakai pelitup muka, melakukan pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, seramai 240 orang termasuk pengusaha premis dikenakan kompaun sejak 10 Jun lalu hingga semalam.

“Ia berikutan kegagalan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal, pengambilan suhu badan dan tidak merekodkan butiran pelanggan,” ujarnya.

Menurut Mohd. Redzuan, seramai 16 orang yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) ditahan kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal di sebuah kedai makan.

Tambahnya, pemantauan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diteruskan bagi memastikan rantaian penularan wabak virus Covid-19 terputus.-K! ONLINE