fbpx

Gadis jadi kaki botol setelah menuntut di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Meminum minuman keras sinonim dengan kunjungan ke kelab malam. – Gambar hiasan

MENGENANG kisah silamnya beberapa tahun lalu membuatkan Diyana (bukan nama sebenar) dihantui dengan rasa bersalah terhadap Maha Pencipta.

Hal ini kerana semasa itulah maruah dirinya punah apabila mula mengenali ‘air kencing syaitan’.
Tegasnya, dia terjebak dengan meminum minuman keras setelah terpengaruh dengan rakannya sendiri.

Semuanya bermula selepas dia melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi yang terletak di utara Semenanjung Malaysia.

“Saya berasal dari sebuah kampung di Pantai Timur dan keluarga saya juga amat mementingkan aspek agama.

“Ayah dan ibu selalu berpesan agar saya sentiasa menjaga tingkah laku dan hindari hal yang boleh mendatangkan aib kepada keluarga,” katanya kepada Panorama.

Tambah Diyana, dia bukanlah gadis yang nakal sewaktu di kampung tetapi semua itu berubah setelah melanjutkan pelajaran.

Dia gembira kerana berpeluang merasai pangajian di kampus dan keluar melihat tempat orang, di samping menambah kenalan baharu.

“Ada rakan sekolah memberitahu saya bahawa tempat yang saya melanjutkan pelajaran itu tidak punya apa-apa hiburan, malahan apabila malam menjelma kawasan itu akan sunyi sepi.

“Bagi saya, hal itu bukanlah satu masalah kerana tujuan utama saya adalah untuk melanjutkan pelajaran dan bukannya pergi berhibur,” katanya yang merupakan anak kedua daripada empat beradik itu.

Namun segalanya berubah setelah dia ditakdirkan tinggal sebilik dengan rakan baharu bernama Nadia.

Nadia adalah gadis remaja yang berasal dari Kuala Lumpur dan dia gemar bersosial. Ujarnya, Nadia membawa dirinya terjerumus dengan tabiat meminum minuman keras.
“Pada hujung minggu sahaja Nadia sering hilang dan tidak pulang ke bilik. Akhirnya saya bertanya kepadanya ke mana dia selalu menghilang?

“Akhirnya Nadia menjelaskan dia sering ke pekan Danok di Thailand untuk berhibur di kelab malam. Dia kemudiannya mempelawa saya turut serta ke tempat sama untuk berhibur. Dia juga meletakkan syarat supaya saya menanggalkan tudung jika mahu mengikutinya,” katanya.

Jelasnya, pintu sempadan Thailand dengan tempat dia belajar tidaklah terlalu jauh, lantaran rakannya itu sering pergi ke negara jiran tersebut untuk berhibur.

Terpengaruh dengan rakan sebiliknya itu, Diyana kemudian mengambil keputusan untuk turut serta.

“Pada mulanya saya mengambil keputusan untuk mengikutinya sekadar untuk melihat dan merasai bagaimana perasaan berada di kelab malam. Maklumlah, saya tidak pernah langsung menjejakkan kaki ke tempat sebegitu sebelum ini.

“Saya rasa seronok saat pertama kali menjejakkan kaki di tempat itu. Ketika itulah pertama kali saya melihat rakan saya meneguk minuman keras sehingga mabuk,” katanya.

Meskipun pada kunjungan awal dia tidak menyentuh minuman keras, namun setelah beberapa kali mengikuti Nadia untuk pergi berhibur di kelab malam, Diyana mula berani untuk mencuba minum minuman tersebut.

Dia terpengaruh dengan kelakukan orang ramai di dalam kelab itu seolah-olah tidak lengkap sekiranya tidak minum minuman keras jika berada di dalam kelab malam.

Selepas itu boleh dikatakan setiap minggu dia dan rakannya itu akan pergi ke Danok untuk berhibur.

“Saya ketagih dengan minuman tersebut dan rasa tidak puas jika tidak dapat menikmatinya.
“Oleh itu setiap hujung minggu kami akan pergi ke Thailand untuk berhibur dan minum minuman keras,” katanya.

Diyana menambah, walaupun bergelar seorang mahasiswa yang bergantung hidup dengan wang pemberian keluarga dan pinjaman pendidikan, itu tidak menjadi masalah untuk mereka pergi berhibur di situ.

Hal ini kerana, ada pula beberapa lelaki yang bertindak sebagai ‘payung’ mereka untuk berhibur di sana.

Lelaki-lelaki itu mereka kenali sewaktu di kelab malam tersebut.

Diyana juga menjelaskan, kerana minuman keras juga maruah dirinya juga telah tergadai kerana perbuatan lelaki-lelaki berhidung belang.

“Selalunya kami akan bermalam di Thailand selepas berhibur. Dalam keadaan mabuk saya sendiri tidak sedar apa yang berlaku. Apabila sedar keesokan harinya, saya dapati telah tidur bersama seorang lelaki.

“Bagi saya pada ketika itu minuman keras dan seks bukanlah satu kesalahan, tetapi memberikan keseronokan,” katanya.

Diyana merasakan dia mungkin akan meninggalkan tabiat tersebut sebaik sahaja menamatkan pelajaran di negeri tersebut kerana sudah tidak berpeluang untuk pergi ke Thailand lagi.

Namun, dek sudah biasa berhibur di kelab malam Diyana masih berasa sukar untuk membuang tabiat tersebut.

Biarpun perasaan bersalah melakukan dosa menghantui dirinya, namun dia sering tewas dengan godaan minuman keras.

“Saya cuba untuk berubah menjadi lebih baik dan meninggalkan semua tabiat ini. Tapi, hati ini sentiasa berbolak-balik dan saya rasa masih belum puas berhibur.

“Saya berharap satu hari nanti saya boleh meninggalkan tabiat ini sepenuhnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI