fbpx
Gambar hiasan

14 kes baharu, 11 libatkan kluster Sivagangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebanyak 11 kes positif Covid-19 membabitkan penularan tempatan dalam kalangan warganegara direkodkan di kluster PUI Sivagangga di Kedah hari ini.

Kesemua 11 kes itu adalah generasi kedua yang berpunca daripada generasi pertama iaitu kes ke-8,975, seorang lelaki berusia 35 tahun dan kes ke-8,976, seorang lelaki berusia 56 tahun.

Kedua-duanya adalah pelanggan restoran kepada kes indeks iaitu kes ke-8,937 yang merupakan pemilik premis tersebut dan baru pulang dari Sivagangga, India.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lapan kes direkodkan melibatkan seorang pelajar sekolah berumur 7 tahun yang merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,975.

Beliau berkata, tiga kes lagi merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,976 yang turut melibatkan seorang pelajar sekolah berumur 10 tahun.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan.

“Sehingga semalam, 20 kes dikesan positif di kluster ini dan 13 lagi masih menunggu keputusan ujian saringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, daripada kes positif itu, sebanyak 15 kes adalah dalam kalangan warganegara manakala lima kes bukan warganegara.

“Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 313 individu telah disaring dan 280 daripadanya didapati negatif.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan dan aktiviti pembersihan dan nyahkuman turut dilaksanakan di semua premis termasuklah sekolah terlibat dan rumah kes yang dikesan positif,” katanya. -K! ONLINE